Demi Dapatkan Bekalan Air Bersih, Kanak-Kanak Ini Sanggup Ulang-Alik Menaiki Kereta Api Sejauh 14 Kilometer Setiap Hari

Bekalan air bersih merupakan sesuatu yang mudah diperolehi di negara kita. Berbeza pula dengan segelintir penduduk di wilayah barat Maharashtra, yang sering dilanda musim kemarau.

Apabila rakan-rakan sekelas mereka menuntut ilmu di sekolah setiap hari, Sakshi Garud, sembilan tahun dan jirannya, Siddharth Dhage, 10, pula antara sekumpulan kecil kanak-kanak yang terpaksa menaiki kereta api sejauh 14 kilometer setiap hari semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan keluarga mereka.

Sumber: Reuters

Walaupun hujan monsun India menyebabkan kebanjiran di negara itu, hanya 14 peratus hujan sahaja yang turun di wilayah berkenaan.

Dhage berkata, “Saya tidak suka menghabiskan masa untuk membawa air, tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain.” Dhage juga berkata bahawa dia tidak mempunyai masa untuk bermain kerana dia perlu mendapatkan bekalan air terlebih dahulu.

Garud pula berkata bahawa dia sering menaiki kereta api sejauh 14 kilometer setiap hari untuk mendapatkan bekalan air.

Menurut sebuah badan amal yang berpangkalan di United Kingdom iaitu WaterAid, terdapat jutaan rakyat India tidak mempunyai bekalan air bersih.

Lebih 12 peratus rakyat India bersamaan dengan 163 juta orang tidak mempunyai akses kepada air bersih berhampiran rumah mereka.

Menyedari isu itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berjanji untuk membelanjakan lebih dari 3.5 trilion rupee (RM205,892,456,534) untuk membawa air paip ke setiap rumah di India menjelang 2024.

Lebih daripada 100 keluarga dalam kejiranan Garud dan Dhage tidak mempunyai akses kepada air paip dan kebanyakan mereka terpaksa bergantung kepada pembekal air swasta, yang mengenakan bayaran sehingga 3,000 rupee (RM176) untuk tangki sebanyak 5,000 liter pada musim panas.

Sumber: Reuters

Namun, bukan semua orang mampu untuk mendapatkan bekalan air daripada syarikat swasta.

Rahul bekerja sebagai seorang pekerja pembinaan. Dia yang juga merupakan bapa kepada Dhage berkata, “Kini, saya tidak ada cukup wang untuk membeli barangan runcit. Saya juga tidak boleh membeli air daripada pembekal swasta.”

Kanak-kanak itu terpaksa menaiki kereta api setiap hari untuk mengambil air dari bandar berdekatan iaitu Aurangabad. Walaupun perbuatan tersebut tidak dialu-alukan oleh pegawai kereta api, mereka juga terpaksa bersesak-sesak di dalam kereta api dengan membawa bekas air yang besar.

Menurut Dhage, walaupun ada yang membantunya, tetapi kadang-kadang ada juga yang membuat aduan kepada pegawai kereta api kerana kanak-kanak itu meletakkan bekas air tersebut berdekatan pintu.

Tambahnya, tujuan mereka meletakkan bekas itu berhampiran pintu adalah untuk memudahkan mereka keluar segera daripada kereta api yang berkeadaan sesak itu.

Dhage juga berkata, “Pernah berlaku, bekas air yang kami bawa terjatuh daripada pintu kereta api dan ia menjadi huru-hara. Kami pulang dengan tangan kosong dan berasa sia-sia.”

Kesimpulannya, nikmat bekalan air bersih yang mudah diperolehi ialah satu nikmat yang perlu kita syukuri.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca