Demi Cuaca Baik, Legenda Patung Teru-Teru Bozu Ini Libatkan Pemenggalan Kepala Sami

Merupakan satu adat yang sudah dipraktikkan semenjak zaman dahulu di Jepun, masyarakat di negara itu beranggapan patung ini merupakan simbolik bagi meminta cuaca yang cerah pada keesokan harinya.

Apa itu Teru Teru Bozu?

Membawa maksud literal iaitu sami berkepala botak cerah, Teru Teru Bozu amatlah mudah untuk dihasilkan. Dengan menggunakan kertas, tisu atau kain putih, tangkal meminta hari cerah ini seterusnya akan digantung di tingkap di mana orang ramai boleh melihatnya.

Walau bagaimanapun, wajah pada Teru Teru Bozu tidak perlu dilukis serta merta. Boneka berkenaan akan mendapat wajahnya sekiranya cuaca cerah pada keesokan harinya sebagai tanda terima kasih. Selepas itu, ia akan dihanyutkan di sungai bersama minuman sake.

Sekiranya cuaca tidak berubah cerah pada keesokan hari, Teru Teru Bozu kebiasaannya akan dibuang.

Sami pengawal cuaca

Perkataan Bozu yang wujud dalam nama Teru Teru Bozu merupakan satu perkataan dalam bahasa Jepun yang masih digunakan sehingga hari ini untuk memanggil sami Buddha.

Disebabkan pertanian merupakan sumber utama industri negara, membuat hujan turun sudah menjadi salah satu daripada pekerjaan yang dilakukan oleh sami di Jepun.

Pernah suatu ketika, seorang sami yang dikenali sebagai Ku-kai telah diarahkan oleh maharaja Shinsen-en, Kyoto untuk menghasilkan hujan. Semenjak hari itu, lebih 20 sami dikatakan mampu melakukan ritual ini sehinggalah tahun 1300.

Dalam puluhan sami yang telah mencuba melakukan ritual ini, seorang sami yang dikenali sebagai Jinkai telah diberi jolokan ‘pakar penghasil hujan’. Malah, sebuah mitos turut tercipta mengenai kebolehannya yang mampu menyeru seekor naga merah ketika sedang menghasilkan hujan di Shinsen-en.

Asal-usul Teru Teru Bozu

Walaupun patung Teru Teru Bozu secara dasarnya kelihatan seperti permainan kanak-kanak yang polos, asal-usul di sebalik tangkal ini sebenarnya amatlah tidak sesuai untuk mereka yang di bawah umur.

Menurut lagenda, terdapat seorang sami Buddha yang diperintahkan oleh maharaja untuk menghentikan hujan ekoran kawasan kampung di situ banjir teruk.

Setelah berjanji mampu menghentikan hujan, sami berkenaan walau bagaimanapun, gagal menyeru awan hitam supaya berarak meninggalkan kampung berkenaan.

Murka apabila sedar diri dipermainkan, maharaja segera menitahkan pengikutnya untuk memenggal kepada si sami sebelum membalutnya dengan sehelai kain putih dan menggantungnya di tingkap sebagai cara untuk meminta cuaca cerah pada keesokan harinya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan lagenda urban, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca