Demi Cari Penawar COVID-19, 45 Individu Sihat Rela Jadi ‘Tikus Makmal’

Seramai 45 individu secara sukarela sanggup menawarkan diri mereka untuk menjadi ‘tikus makmal’ dalam ujian pertama vaksin Koronavirus baharu (COVID-19).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH), ujian terbabit melibatkan individu sihat yang berusia dalam lingkungan 18 sehingga 55 tahun.

Jelas NIH lagi, ujian berkenaan diketahui akan memakan tempoh masa yang panjang iaitu antara 12 sehingga 18 bulan.

“Sukarelawan pertama sudah menerima vaksin penyelidikan,” kata NIH.

Difahamkan, tujuan utama ujian ini dijalankan adalah demi memastikan vaksin penyelidikan terbabit tiada kesan sampingan kepada manusia sebelum boleh digunakan dalam skala yang lebih besar.

Untuk pengetahuan, vaksin penyelidikan yang diberi nama mRNA-1273 itu dibangunkan oleh saintis di NIH dengan kerjasama makmal bioteknologi Moderna di Cambridge, Massachusetts.

Pembiayaan vaksin itu dilaporkan ditanggung sepenuhnya oleh Gabungan Inovasi Kesedaran Jangkitan (CEPI) yang berpusat di Oslo, Norway.

Terdahulu, Menteri Luar Jerman, Heiko Mass menegaskan bahawa penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin COVID-19 oleh firma bioteknologi Jerman bukan untuk dijual, sebaliknya ia bertujuan untuk digunakan bagi melindungi masyarakat dunia.

Ia susulan satu kenyataan yang dikeluarkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu negaranya membeli vaksin berkenaan, sekali gus memiliki akses eksklusif.

“Saintis berusaha mencari vaksin untuk melawan Covid-19 yang kini sudah membunuh hampir 6,000 orang di seluruh dunia. Ia menyebabkan jutaan penduduk diletakkan di bawah perintah berkurung.”

“Penyelidik Jerman memainkan peranan penting dalam R&D vaksin dan kami tidak boleh membenarkan orang lain membolot hasil yang eksklusif ini,” katanya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca