Demi Bersama Kekasih Baru, Ahli Farmasi Gay Bunuh Isteri Guna Beg Plastik

Seorang ahli farmasi dijatuhkan hukuman penjara minimum selama 30 tahun setelah didapati bersalah membunuh isterinya sendiri. Mitesh Patel, 37, telah menggunakan satu beg plastik untuk menamatkan riwayat orang rumahnya. Motif kejadian dipercayai kerana lelaki yang dipercayai seorang gay itu mahu memulakan hidup baru bersama teman lelakinya.

Pada malam 14 Mei 2018 itu, Mitesh telah menghubungi pihak polis dan memberitahu dia terjumpa isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah sejurus pulang. Lelaki itu mengesyaki rumahnya telah dirompak ekoran keadaan rumah yang bersepah. Mitesh juga menambah dia tidak tahu sama ada isterinya, Jessica masih bernyawa atau tidak.

Polis dan paramedik tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian. Namun begitu, hasil siasatan mendapati tiada tanda-tanda rumah terbabit dimasuki secara paksa. Hal ini telah menimbulkan kecurigaan pihak berkuasa yang mula menyoal kesahihan kisah rompakan yang diceritakan Mitesh.

Rumah pasangan berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV). Walau bagaimapun, pihak polis mendapati cakera keras alat itu tersimpan elok di dalam beg pakaian yang berada di bawah katil. Tambah mencurigakan apabila rakaman terbabit kelihatan seperti sengaja ditutup beberapa minit sebelum ketibaan pihak berkuasa.

Di dalam kamar tidur Mitesh dan Jessica, polis telah menjumpai sekeping gambar Mitesh bersama seorang lelaki. Tidak lama selepas itu, pihak berkuasa menyedari bahawa pemuda misteri itu adalah punca disebalik kes kematian Jessica Patel.

Setelah disiasat, lelaki misteri di dalam gambar terbabit sebenarnya seorang doktor warga Australia. Mitesh mengenali lelaki berkenaan daripada Grindr yakni aplikasi khas untuk lelaki homoseksual mencari pasangan mereka. Menurut pekerja di farmasi milik Mitesh dan Jessica, mereka pernah melihat Mitesh membelek aplikasi terbabit sambil mencari pasangan yang sesuai.

Rahsia Mitesh terbongkar setelah isterinya terbaca mesej cinta yang dikirim suaminya kepada doktor terbabit di dalam telefon bimbitnya.

“Seperti yang awak kata, dia hanyalah penyewa sementara,” tulis Mitesh dalam satu mesejnya kepada teman lelakinya.

Di dalam mesej terbabit, Mitesh menyamakan Jessica seperti seorang penyewa rumah sementara di dalam hubungan mereka. Lelaki terbabit turut memberitahu kekasihnya bahawa perkahwinannya dengan Jessica hanyalah kerana wanita terbabit yang sangat mencintainya. Selain itu, Jessica turut berjanji akan melindungi seksualiti sebenar Mitesh daripada pengetahuan umum.

Mitesh mengaku telah membunuh Jessica kerana mahu bersama teman lelakinya di Australia. Menurut pihak pendakwa, Mitesh mahu mengambil wang insurans isterinya yang dianggarkan berjumlah hampir RM 9 juta. Turut didedahkan lagi, Mitesh sebenarnya sudah merancang pembunuhan Jessica lebih dari lima tahun lamanya.

Meskipun Mitesh mahu Jessica mati, dia tetap berharap isterinya sempat melahirkan seorang bayi lelaki supaya dapat dibesarkan bersama-sama teman lelakinya di Australia.

Mitesh dan Jessica sudah mengenali satu sama lain semenjak kecil ekoran mereka berdua membesar dalam komuniti Hindu yang sama di Barat Yorkshire, England. Mereka telah berjumpa semula semasa di universiti di mana Mitesh telah menjadi teman lelaki pertama Jessica. Pasangan itu berkahwin sekitar tahun 2008-2009 setelah direstui bapa Jessica.

Artikel Lain Untuk Di Baca