“Demi Allah, Bumi Ini Berbentuk Sfera”, Dr. Sheikh Muszaphar Bersumpah Bagi Menolak Fahaman ‘Flat Earthers’

Meyakinkan mereka yang percaya bumi ini berbentuk rata sebaliknya bukanlah satu perkara yang mudah. Dalam erti kata lain, perdebatan berkenaan bentuk bumi ini memang tidak akan menemui titik noktah.

Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha baru-baru ini bersumpah atas nama Allah bahawa planet ini sememangnya berbentuk sfera sepertimana yang dia lihat dari angkasa lepas.

Pengakuan sumpah itu ditujukan kepada mereka yang percaya bahawa bumi adalah rata (digelar sebagai flat earthers) dan sekali gus menjawab ribuan mesej yang diterima angkasawan pertama Malaysia itu di laman sosial yang bertanyakan soalan tersebut.

Meskipun sebelum ini Dr. Sheikh Muszaphar pernah menjelaskan perkara berkenaan berserta dengan gambar, namun masih ada individu yang mempertikaikan fakta itu.

View this post on Instagram

Pic – To all flat Earthers out there … I get thousands of DM’s on my Social Media asking me about the shape of the Earth and some even have the guts asking me to swear in the name of Allah . I thought I have made it clear on my previous postings showing pics I took from Space and my statements . And no matter how much I explain to them , I can never convince them … They are always sticking to their non-factual based evidence which I find appalling . On this Barakah Friday I’d like to make a point to these groups as what I have seen and known . “ Dengan nama Allah saya bersumpah bahawa Bumi berbentuk sfera seperi mana dilihat oleh saya di Angkasa “ I hope that clears the air … Salam Jumaat Everyone . Love As Always . PS – “ It’s harder to convince or debate with the uneducated compared to the intellectuals because they don’t understand the basic of knowledge “

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar) on

“Dengan nama Allah, saya bersumpah bahawa bumi berbentuk sfera sepertimana dilihat oleh saya di angkasa,” coret Dr. Sheikh Muszaphar di Instagram beliau.

Ujarnya, ia adalah amat sukar untuk berdebat dengan mereka yang tidak berpendidikan berbanding golongan intelek kerana mereka tidak memahami asas ilmu pengetahuan.

Dr. Sheikh Muszaphar yang juga merupakan angkasawan Islam kesembilan telah meneroka angkasa lepas berasakan ia menjadi tanggungjawab beliau bagi tampil menceritakan fakta sebenar.

Terdahulu, bekas penyanyi kumpulan nasyid, Suhaimi Saad mendakwa bahawa bumi berbentuk rata dan menyangkal fakta yang dikemukakan oleh ahli fizik dan sains. Malah, Suhaimi juga pernah mencabar Dr. Sheikh Muszaphar untuk bersumpah mengenai fakta yang dikemukakannya (bumi berbentuk sfera).

Selain itu, Suhaimi yang juga percaya bahawa saiz matahari dengan bulan adalah hampir sama dikatakan tidak akan menghentikan kajiannya dan akan tetap berpegang teguh dengan fahamannya.

Untuk rekod, Dr. Sheikh Muszaphar berlepas ke angkasa pada 10 Oktober 2007 dalam perjanjian antara Malaysia dan Rusia. Beliau kembali ke negara ini pada 21 Oktober 2007.

Artikel Lain Untuk Di Baca