Dedikasi Sehingga Akhir Hayat, Doktor Ini Maut Lepas 10 Hari Bekerja Lawan Koronavirus

Seorang doktor warga China meninggal dunia akibat serangan jantung setelah 10 hari berturut-turut bertugas tanpa rehat demi melawan wabak Koronavirus.

Menurut kerajaan tempatan, Song Yingjie, 27, merupakan ketua kumpulan di sebuah klinik tempatan dekat wilayah Hunan.

Beliau bertanggungjawab memeriksa suhu badan penunggang dan penumpang motosikal yang melalui kawasan itu. Difahamkan, Song Yingjie tidak berhenti bekerja semenjak 25 Januari yang lalu.

Berita dukacita itu diterima sejurus selepas kerajaan mengangkat doktor di seluruh negara itu sebagai wira selepas mereka berjuang siang dan malam untuk menangani wabak yang pertama kali dikesan di bandar Wuhan itu.

Doktor muda berkenaan merupakan anak kelahiran Bandar Kaiyun di Hengshan County disahkan meninggal dunia sejurus pulang ke bilik asramanya pada awal pagi Isnin.

Selain bertanggungjawab memeriksa suhu badan penunggang dan penumpang motosikal, Dr. Song Yingjie turut memikul amanah mengedarkan bekalan perubatan di Klinik Maji.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kakak kepada mangsa, Song Yingjie disifatkan sebagai adik yang penyayang dan sukar bagi keluarganya untuk menerima berita kematian doktor itu.

“Dia sering membantu membuat kerja rumah dan dipandang tinggi oleh majikannya,” jelas kakak mangsa.

Sementara itu, bapa Song Yingjie berkata, dia amat berdukacita dengan berita mengenai kematian doktor berkenaan. Lebih-lebih lagi apabila seorang lagi anaknya pula terperangkap di Wuhan dan tidak boleh pulang ke rumah.

Dalam pada itu, angka kematian di China akibat wabak Koronavirus (2019-nCoV) semakin meningkat dengan 66 lagi kes terbaharu semenjak petang semalam.

Wabak berbahaya berkenaan dilaporkan telah mengorbankan 493 individu dan menjangkiti 24,600 yang lain di seluruh dunia.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca