Debaran Dunia Menanti Vaksin COVID-19

Penularan wabak COVID-19 seperti tiada penghujungnya. Ini kerana kes jangkitan dan kematian menunjukkan peningkatan hampir setiap hari.

Jumlah korban sehingga semalam telah meningkat hampir 967,000 orang sejak virus ini mulai dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu manakala jumlah jangkitan telah melebihi 31 juta kes.

Seperti yang kita lihat, hampir semua negara sedang berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan vaksin agar boleh mematikan segera virus pembunuh ini. Difahamkan, lebih 82 organisasi penyelidikan seluruh dunia kini sedang berusaha untuk membangunkan vaksin COVID-19.

Negara-negara kuasa besar yang mempunyai kes jangkitan tinggi seperti China dan Amerika Syarikat kini sedang berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin dalam usaha untuk muncul sebagai ‘penyelamat’ pertama kepada seluruh dunia.

Seperti yang kita lihat pada minggu lalu, China mengumumkan vaksin ciptaan mereka yang dijangka boleh dipasarkan seawal November nanti.

Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat turut tidak mahu ketinggalan apabila Presidennya, Donald Trump mendakwa vaksin ciptaan negaranya mungkin akan siap dalam sebulan lagi, lebih awal berbanding jangkaannya sebelum ini.

Rakyat di seluruh dunia terutamanyanya rakyat Malaysia mengharapkan ada vaksin yang benar-benar boleh mengakhiri penularan virus COVID-19 dan ia dapat tiba di negara kita secepat yang mungkin.

Untuk pengetahuan, Malaysia kini adalah antara 172 negara yang mendaftar dan menandatangani pelan peruntukan vaksin COVID-19 Vaccine Global Access (Covax).

Dengan adanya perjanjian ini, ia akan memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dan pada kadar segera dengan harga yang berpatutan apabila vaksin itu terbukti selamat serta berkesan.

Seluruh dunia kini sedang ternanti-nanti penghasilan vaksin COVID-19. Sama ada ia berkesan atau tidak, masih terlalu awal untuk mengetahuinya.

Untuk baca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:



Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca