David Beckham Dan Victoria Disyaki Pernah Dijangkiti COVID-19 Ketika Berparti Di Los Angeles

Bintang bola sepak England, David Beckham dan isterinya Victoria dilaporkan pernah dijangkiti virus COVID-19 selepas berparti di Los Angeles, California pada Mac lalu.

Menurut laporan, bekas pemain bola sepak yang berusia 45 tahun dan isterinya, 46 tahun berasa bimbang apabila mereka dianggap sebagai penyebar utama COVID-19.

Ini adalah kerana kakitangan mereka turut dijangkiti dengan pandemik itu selepas terbang ke beberapa buah negara selama dua minggu dengan menggunakan pesawat bersama dengan anak-anaknya.

Difahamkan, Beckham bersama ahli keluarganya menaiki kapal terbang dari Los Angeles ke United Kingdom bagi menganjurkan parti besar-besaran sempena ulang tahun kelahiran anak lelakinya yang ke-21, Brooklyn di Cotswolds pada 4 Mac lalu.

Mereka kemudian menaiki pesawat untuk kembali ke Amerika Syarikat pada 11 Mac lalu menjelang pelancaran kelab bola sepak baharu Beckham, Inter Miami di Florida dan terbang semula ke Cotswolds pada 19 Mac lepas sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.

Beckham dilaporkan mula berasa tidak sihat ketika berada di Miami dan isterinya, yang juga bekas anggota kumpulan Spice Girls, turut mengalami simptom seperti sakit tekak serta suhu badan yang tinggi.

Pasangan tersebut telah menghadiri dua majlis kerana mempunyai kerja-kerja promosi dan mereka turut berjabat tangan serta mencium para peminat, termasuk beberapa orang kenamaan.

Keluarga Beckham kemudian menghabiskan masa dengan berkuarantin di rumah besar mereka di kawasan desa Cotswolds.

Selepas disahkan pulih, Victoria dan Beckham menjalani ujian antibodi dan swab bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai pandemik itu sebelum terbang untuk pergi bercuti di Greece dan Itali.

Bagaimanapun, menurut jurucakap pasangan itu, kedua-dua selebriti terbabit enggan memberi sebarang komen ketika dihubungi beberapa agensi berita tempatan.


Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca