Daripada Anti-Muslim, Penyokong Bola Sepak Ini Akhirnya Memeluk Islam Kerana Mohamed Salah

Nama Mohamed Salah pasti tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak di seluruh dunia. Kali ini, kami kongsikan satu kisah yang cukup menarik untuk dibaca mengenai penyerang Liverpool yang secara tidak langsung mengislamkan seorang penyokong bola sepak di England.

Lelaki yang dikenali sebagai Ben Bird itu bukannya penyokong Liverpool tetapi beliau merupakan penyokong Nottingham Forest.

Menjadikan pemain Mesir itu sebagai inspirasi terbesar beliau, Ben telah membuat satu pengakuan yang mengejutkan seluruh keluarga dan rakan-rakan di mana beliau sudah memeluk Islam dan kini bergelar seorang Muslim.

“Mohamed Salah merupakan inspirasi saya. Saya masih lagi saya yang dahulu, penyokong Nottingham Forest dan pemegang tiket bermusim tetapi saya mahu membuat satu pengakuan iaitu saya sudah pun memeluk Islam dan saya kini merupakan seorang Muslim.”

Menurut Ben, pasti ramai rakan-rakan tidak percaya yang beliau kini sudah mengucapkan dua kalimah syahadah kerana beliau tidak banyak berubah terutama sekali dalam kehidupan seharian. Satu-satunya perubahan yang dapat dirasakan beliau sendiri adalah hatinya menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Ben kini sedang berusaha untuk mengubah kehidupannya terutama sekali setiap kali pada hari perlawanan. Selalunya, Ben bersama rakan-rakan akan menghabiskan masa di pub untuk bertaruh dan selepas tamat perlawanan pula, mereka akan kembali ke pub. Kini, Ben sedar ‘tradisi’ itu bukan sahaja membuang masa malah juga membuang duit.

Ben turut mengakui bahawa ia adalah amat sukar untuknya mengubah tabiatnya itu memandangkan ia seolah-olah sudah menjadi rutin dalam kehidupannya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan rutin itu sudah menjadi budaya peminat bola sepak di sana.

Suatu ketika dahulu, perasaan malu bersarang dalam diri Ben setiap kali ingin berkongsi pandangannya tentang Islam. Ini kerana, beliau menganggap Islam merupakan agama dan budaya untuk orang yang mundur. Beliau juga cukup bencikan Islam sebelum hatinya diketuk oleh hidayah Allah.

Sewaktu di Tingkatan enam, ia merupakan satu tempoh di mana Ben berpendapat yang beliau memerlukan seseorang untuk dipersalahkan atas nasib malangnya. Bermula dari situlah beliau mula menjadikan umat Islam sebagai sasaran.

Meskipun Ben mempunyai pandangan yang begitu buruk tentang Islam, beliau tidak pernah sesekali menyatakannya kepada penganut agama tersebut.

Apabila melangkah masuk ke universiti, Ben mengambil ijazah dalam bidang Pengajian Timur Tengah di Universiti Leeds. Bertitik tolak dari situlah segala-galanya berubah.

Ben telah diberi satu tugasan di mana beliau perlu membuat satu kajian. Beliau ingin melakukan sesuatu yang sedikit berbeza. Ketika berbincang mengenai tajuk tugasan itu, seorang pensyarah Ben telah mencadangkannya untuk melakukan kajian terhadap lagu Mohamed Salah.

“Bagaimana dengan lagu Mohamed Salah?” begitulah soalan yang keluar daripada mulut pensyarahnya ketika itu.

If he scores another few then I’ll be Muslim too,” satu rangkap dalam lagu penyokong Liverpool sangat menyentuh hati Ben.

Akhirnya, satu persoalan telah muncul dalam kepala Ben iaitu “Adakah persembahan Mohamed Salah di atas padang telah mencetus perbincangan dan membanteras Islamofobia dalam kalangan media dan sfera politik?”

Sewaktu di universiti, Ben juga banyak bertemu dengan pelajar dari Arab. Pada mulanya, Ben menganggap mereka seperti iblis yang membawa pedang bersama mereka.

Namun begitu, hakikatnya adalah sebaliknya. Akhirnya Ben sedar yang mereka sebenarnya adalah orang yang sangat baik. Persepsi dan konsep yang beliau pegang selama ini tentang orang Arab ternyata tidak betul sama sekali.

Ketika menemu ramah beberapa orang pelajar dari Mesir berkenaan kajiannya yang bertajuk ‘Mohamed Salah, a Gift From Allah’ dan juga lagu daripada penyokong The Reds, mereka sanggup meluangkan masa selama berjam-jam untuk bercakap dengan Ben.

“Itu sudah cukup untuk membuktikan betapa hebatnya insan yang bernama Mohamed Salah.”

Menurut Ben, kira-kira sejuta rakyat Mesir telah melakukan undi rosak dengan ‘mengundi’ untuk Mohamed Salah dalam pilihan raya presiden pada tahun lalu.

Salah seorang daripada mereka memberitahu Ben bahawa Salah telah memberikan gambaran yang sebaiknya tentang Islam kerana Salah mengikuti ajaran agama itu dengan betul. Beliau juga percaya yang Salah mendorong orang ramai untuk kembali mesra dengan Islam.

Apa yang diperkatakan pelajar itu sangat menyentuh hati Ben. Ben mula berasakan setiap kali Salah menjaringkan gol, beliau menjaringkannya untuk agamanya.

Ketika Salah memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Ben memberitahu rakannya yang kemenangan itu adalah untuk Islam. Ben berkata seperti itu kerana setiap kali menjaringkan gol, Salah sentiasa meraikannya dengan sujud.

“Anda bayangkan berapa juta orang peminat EPL di seluruh dunia menyaksikan beliau bersujud setiap kali menjaringkan gol setiap minggu?”

“Salah menunjukkan kepada saya bahawa kamu boleh menjadi seorang manusia biasa dan juga seorang Muslim. Rasanya itu frasa paling tepat. Anda boleh menjadi diri sendiri walaupun anda seorang Muslim.”

Ben turut menegaskan bahawa Islam adalah jauh berbeza dengan apa yang kerap disebarkan oleh media.

Jika boleh kembali ke masa lampau, Ben menyatakan beliau akan memberitahu dirinya yang dahulu, “Sampai hati kamu berfikir begitu (negatif) kepada manusia yang hidup dalam diversiti. Kamu harus sedar kita hidup dalam pelbagai agama, kepercayaan dan pelbagai bangsa.”

Pada musim lalu, ada segelintir penyokong Chelsea yang menyanyikan bait “Salah is a bomber.” Itulah pertama kali Ben menggunakan hak bersuara di media sosial.

Pesan Ben kepada semua Muslim, jangan sesekali takut untuk hadir ke perlawanan bola sepak. Isu ini sepatutnya ditangani oleh kedua-dua belah pihak.

“Orang Islam adalah saudara saya dan saya juga tidak mahu kehilangan rakan-rakan saya hanya kerana perkara yang tidak sepatutnya.”

Mereka yang bertindak menghina Islam atau menganggap Muslim sebagai pengganas ini sebenarnya tidak memahami betapa indahnya Islam. Jadi, kita sebagai seorang Muslim haruslah menunjukkan contoh yang baik kepada mereka yang bukan Islam supaya hati mereka terbuka untuk menerima Islam suatu hari nanti.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca