Dapat Perhatian Perdana Menteri, Potret ‘Terima Kasih Abah’ Ini Bawa Tuah Buat Pemuda Kampung

Di tengah-tengah situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Ramadan yang baru tiba minggu ini, usaha seorang pemuda dari Kelantan, Mohamad Aqef Aizaq menghasilkan potret ‘Terima kasih Abah’ buat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin nampaknya telah membawa tuah kepada beliau.

Menurut beliau, potret perdana menteri yang dihasilkannya ketika bersiaran secara langsung di Facebook Live itu bukan sahaja dikongsikan ramai warganet sebelum ini tetapi turut mendapat perhatian dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

“Saya buat siaran langsung (live) menerusi Facebook ketika menulis potret itu. Daripada sikit, lama-kelamaan ramai yang tonton dan mula share. Memang niat nak hadiahkan kepada beliau, jika ada rezeki nak masukkan dalam frame cantik-cantik dan serah sendiri ke tangan beliau apabila situasi COVID-19 dah pulih.

Nak dijadikan cerita, disebabkan ramai yang share, pada Jumaat lalu ada pihak menghubungi saya dan menyatakan beliau dari Pejabat Perdana Menteri.

Pegawai tersebut berkata dia akan menghubungi saya lagi selepas ini untuk maklumkan bagaimana untuk menghantar lukisan tersebut,” katanya.

Menerusi temu bual bersama Mstar, Mohamad Aqef menceritakan dia yang kini bercuti daripada kerja tergerak hati untuk melukis potret perdana menteri Malaysia itu bagi mengisi masa lapangnya.

Lukisan yang dihasilkan menggunakan lakaran pensil itu menurut Aqef mempunyai maksud serta simbolik yang tersendiri dan mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

 Pemuda yang berasal dari Kg Chetok, Pasir Mas itu berkata, lukisan tersebut dihasilkan melalui pemerhatian terhadap riak wajah ikhlas perdana menteri itu menyampaikan ucapan dan perutusannya sebelum ini.

“Cara bagaimana beliau mendepani situasi dalam masa yang sama menjaga kebajikan rakyat, bagaimana beliau mentadbir, semua itu saya terjemahkan dalam lukisan ini.

Maka terhasillah lukisan Terima Kasih Abah. Tiada apa yang saya nak sampaikan melainkan ucapan terima kasih dan doa saya sentiasa bersama beliau,” katanya kepada Mstar.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan lukisan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca