Muzik mempunyai kesan ke atas badan dan minda, sekali gus terapi muzik dapat mengurangkan tekanan seseorang dan membantu meningkatkan penjagaan kesihatan.
Hubung kait muzik dan kesihatan manusia dikaji sejak sekian lama dan akhirnya disimpulkan. Muzik memiliki kuasa penyembuhan yang kuat terhadap penyakit tertentu.
1. ‘Kuasa’ sembuh penyakit
Memang jelas, muzik tidak mampu menyembuhkan semua jenis penyakit, tetapi ia memberi manfaat besar dalam menyembuhkan sesetengah penyakit.
Dalam situasi ini, muzik akan berfungsi dan bekerjasama dengan sistem saraf yang kemudian secara automatik mampu meringankan rasa sakit kronik. Itu antara sebab utama ada beberapa hospital menggunakan muzik sebagai terapi.
Mereka akan memainkan lagu yang bernada perlahan dan akan diperdengarkan kepada pesakit untuk memberikan aura tenang.
Contoh muzik yang sesuai seperti yang dimainkan oleh Kenny G. Tujuannya kerana muzik berirama sebegini mempunyai elemen yang membuat tubuh mengeluarkan zat endorfin bagi meneutralkan badan daripada rasa sakit, melambatkan degupan jantung dan menenangkan pernafasan.
2. Bantu sembuh insomnia
Mendengar muzik dipercayai membantu menenangkan fikiran dan jiwa sehingga membantu kita tidur nyenyak. Muzik juga dikatakan mampu menyembuhkan insomnia.
Menurut seorang ahli psikologi dari London, Dr Victoria, mendengar muzik mampu mempengaruhi reaksi yang sangat luas dalam tubuh dan fikiran. Bukan itu saja, ia turut berkomunikasi dengan beberapa bahagian otak yang boleh diaktifkan oleh muzik.
3.Kawal tekanan darah
Bagi anda yang mudah cemas atau gemuruh, ini cara terbaik untuk mengatasinya. Mendengar muzik dengan irama yang perlahan akan membantu pesakit darah tinggi mengawal tekanan darah mereka.
Kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat menunjukkan hanya dengan mendengar muzik berirama klasik selama 30 minit sehari, ia mampu menurunkan tekanan darah tinggi secara ketara dan jelas.
4. Menambahkan keceriaan wajah
Dengan menghayati muzik kegemaran, sedikit sebanyak boleh mendatangkan mood gembira dan secara tidak langsung juga boleh menceriakan wajah seseorang. Dari situ dapat menyuntik aura positif ke minda dan akan mengurangkan tekanan.
Harus diingat, jiwa yang tenang terpancar melalui air muka seseorang. Maka secara tidak langsung keceriaan itu boleh menyerlahkan lagi kecantikan seseorang individu.
5. Menghilangkan tekanan semasa mengulangkaji pelajaran
Mungkin ada yang tidak menggalakkan belajar sambil mendengar muzik. Tetapi ada kalanya belajar sambil mendengar muzik boleh juga menghilangkan tekanan menjelang peperiksaan.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada individu itu. Ada yang gemar mengulangkaji pelajaran dalam suasana yang sunyi dan tidak kurang pula yang memerlukan muzik ketika belajar.
Sambil mendengar muzik anda boleh mengulangkaji tanpa tekanan dan pada masa yang sama masih boleh berhibur.
Apa pun pilihan muzik anda dan jika anda menyukainya maka ia adalah pilihan tepat untuk memberi manfaat kepada kesihatan mental dan fizikal anda.
Sumber: MyHealth Portal