Dapat Berita Isteri Hamil Anak Ketiga, Azizulhasni Awang Menangis Selepas Kalung Pingat Perak

Datuk Muhammad Azizulhasni Awang menghadiahkan kegembiraan kepada rakyat Malaysia apabila beliau berjaya merangkul pingat perak pertama negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara keirin lelaki sebentar tadi.

Satu sesi temu bual yang dilakukan oleh pihak media bersama Azizulhasni membuatkan orang ramai terharu apabila beliau menangis ketika menyentuh perihal ahli keluarga dan rakyat Malaysia.

Azizulhasni berkata anak-anaknya selalu menelefon bertanya bila beliau mahu pulang bertemu keluarga, “Hari-hari anak saya call dan tanya bila nak balik. Saya kata sekejap lagi, sekejap lagi. Dah nak habis dah.”

Azizulhasni juga memaklumkan bahawa bapanya kini berada dalam keadaan kurang sihat dan menjelaskan bahawa beliau belum berpeluang untuk bertemu dengan bapanya.

Selain itu, Azizulhasni turut memaklumkan apa yang beliau lakukan adalah demi ahli keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia. Wajah anak-anak, isteri dan ibu bapa yang tinggal jauh di perantauan berada dalam fikirannya sewaktu beliau berlumba.

Namun, apa yang lebih menyebakkan adalah apabila Azizulhasni menitiskan air mata dan terus meluahkan rasa syukur serta sujud selepas mendengar berita gembira daripada wartawan yang memaklumkan bahawa jaguh berbasikal negara itu bakal menimang cahaya mata ketiga beliau.

Sumber: Twitter Haresh Deol

Sementara itu, Azizulhasni yang turut dikenali sebagai The Pocket Rocketman menerima saingan hebat daripada pelumba Great Britain iaitu Jason Kenny yang memenangi pingat emas dan atlet Belanda iaitu Harrie Lavreysen memperoleh pingat gangsa.

Apa yang lebih membanggakan adalah Azizulhasni merupakan satu-satunya atlet Asia yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara keirin lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sumber: Twitter @sukanzcom

Untuk pengetahuan anda, Azizulhasni adalah pemenang pingat gangsa dalam acara keirin lelaki Sukan Olimpik Rio 2016.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Azizulhasni atas kejayaan beliau memperoleh pingat perak dalam acara keirin lelaki dan semua atlet Malaysia yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Menang atau kalah, anda adalah hero kami! Anda boleh tonton video highlight di bawah.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Olimpik 2020, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca