Dakwaan Tony Abbott Tentang MH370, Ini Respons Ketua Polis Negara

Tony Abbott, bekas Perdana Menteri Australia membuat sebuah pendedahan ‘peringkat tertinggi’ menerusi dokumentari bertajuk MH370: The Untold Story.

Memetik laporan Malaysiakini, Tony membuat dakwaan bahawa kerajaan Malaysia pada masa itu ‘tahu’ bahawa kehilangan pesawat MH370 adalah plot bunuh diri.

Sebagai respons, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata bahawa tidak ada sebarang bukti jelas buat masa ini mengenai punca sebenar kehilangan pesawat MH370.

Abdul Hamid berkata bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat semua kebarangkalian di sebalik misteri kehilangan pesawat tersebut.

Namun, punca sebenar kehilangan pesawat itu masih tidak boleh dirungkai selagi ia tidak ditemui.

Memetik laporan Berita Harian, “Kita tidak jumpa rangka kapal terbang itu dan tidak dapat temui penumpang yang berada dalam kapal terbang tersebut. Itu masalahnya.”

Tambahnya, “Kita menyiasat daripada seluruh sudut termasuk dari segi terrorism, rampasan oleh pihak tertentu, penggunaan teknologi canggih untuk hijack kapal terbang tersebut dan pelbagai teori lain.”

Tidak berhenti di situ, “Banyak fakta yang telah terkumpul maka apabila katakanlah MH370 ditemui nanti, mungkin kita akan buka kertas siasatan semula.”

Sumber: Astro Awani

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Abbott yang mendakwa ‘pemimpin kanan’ Malaysia percaya bahawa pesawat itu sengaja ditenggelamkan dalam misi membunuh diri.

Abdul Hamid berkata bahawa itu semua terpulang kepada Abbott untuk membuat kenyataan tersebut.

Hal ini demikian kerana kenyataan Abbott itu adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sewaktu menjadi Perdana Menteri Australia dahulu.

Pesawat MH370 yang dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah itu hilang dari radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur dengan membawa 239 penumpang dan kru.

“Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar” ialah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar.

Dalam pada itu, data satelit menunjukkan pesawat tersebut menyimpang dari laluan dengan membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

Operasi mencari dan mengesan itu akhirnya digantung pada Januari 2017 selepas pencarian di Lautan Hindi yang membabitkan kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di dasar laut dalam itu tidak membuahkan hasil.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan MH370, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca