Dakwaan Penganjuran Pesta Tarian Separuh Bogel Di Pulau Perhentian, Ini Reaksi Polis Besut

Baru-baru ini, satu video yang memaparkan seorang wanita menari di atas tong dalam pesta bogel di Pulau Perhatian telah tular dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Video yang berdurasi 30 saat itu turut memperlihatkan sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian separuh bogel melakukan aktiviti serupa.

Namun begitu, pihak polis negeri Terengganu menafikan sekeras-kerasnya tentang kewujudan penganjuran pesta sedemikian di sebuah chalet dekat Pulau Perhentian, Besut.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut iaitu Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, pihaknya mendapati bahawa tiada aktiviti seperti yang didakwa berlaku di pulau peranginan itu.

Malah, video yang tersebar itu dipercayai merupakan video lama.

“Video yang dimuat naik itu adalah video lama iaitu pada tahun 2017 lagi. Tarian itu dibuat seorang ‘pondan’ dan tidak dianjur oleh siapa-siapa pun.”

“‘Pondan’ itu dalam keadaan mabuk dan dia menari secara spontan di tepi pantai di atas tong.”

“‘Pondan’ itu pun kita telah kenal pasti dah tidak ada siapa yang menganjurkan pesta arak dan tarian bogel di Pulau Perhentian. Tidak ada mana-mana resort, mana-mana bar yang menganjurkannya,” jelas Mohd Zamri.

Tambah Mohd Zamri, hasil siasatan juga mendapati bahawa video tersebut dimuat naik oleh seorang pemilik laman sosial gara-gara tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa tempatan.

Siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan dan pihak polis kini sedang mengenal pasti pemilik sebenar akaun tersebut.

“Dia tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa yang tidak membenarkan dia buka pusat urut di pulau itu.”

“Dia memuat naik gambar itu dengan tujuan untuk memburuk-burukkan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Besut dan Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya lagi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca