Dakwa Filem House Of Gucci Satu Penghinaan, Ini Respons Keluarga Gucci

Dibintangi Lady Gaga, Adam Driver dan Al Pacino, filem House of Gucci arahan Ridley Scott menerima kecaman hebat daripada keluarga Gucci yang tidak senang dengan cara keluarga mereka digambarkan di dalam karya berkenaan. Keluarga Gucci mendakwa filem tersebut sebagai tidak tepat dan bersimpang daripada kisah sebenar.

Sumber: Indiewire

Jeremy Irons yang memegang watak Rodolfo iaitu bapa Maurizio Gucci berkata dalam temu bual dengan Reuters bahawa cerita keluarga Gucci sangat menarik dan sukar untuk ditolak. Jeremy turut menggambarkan keluarga Gucci sebagai orang yang berani, biadab, suka menunjuk-nunjuk dan ‘sangat Itali.’

Memetik laporan CNA Lifestyle, salah seorang ahli keluarga Aldo Gucci sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan pelakon terbabit. Aldo Gucci ialah bekas Presiden Gucci selama 30 tahun dan beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan nama jenama berkenaan sehingga ia dikenali ramai seperti sekarang.

Al Pacino melakonkan watak Aldo Gucci. Sumber: Buzzkini

“Walaupun karya ini didakwa bertujuan untuk menceritakan ‘kisah sebenar’ keluarga Gucci, filem itu menyampaikan naratif yang sama sekali tidak tepat. 

Pihak produksi filem itu sama sekali tidak pernah cuba untuk berunding dengan waris sebelum menggambarkan watak Aldo dan ahli keluarga Gucci yang lain sebagai samseng yang jahil dan tidak sensitif kepada dunia sekeliling mereka.

Perkara ini amat menyakitkan dari sudut pandangan seorang manusia dan ia merupakan satu penghinaan terhadap legasi di mana jenama ini dibina hari ini,” ujarnya.

Bangkitkan isu tentang Patrizia Reggiani

Apa yang lebih menimbulkan kemarahan waris keluarga Gucci ialah filem tersebut seolah-olah menggambarkan watak Patrizia Reggiani (Lady Gaga) sebagai seorang mangsa yang berjuang untuk bertahan dalam budaya korporat yang maskulin dan fanatik sedangkan wanita itu merupakan perancang utama yang menyebabkan pemergian pewaris tunggal Gucci iaitu Maurizio pada tahun 1995.

“Sepanjang 70 tahun sebagai perniagaan keluarga, Gucci adalah syarikat inklusif. Pada tahun 1980-an (tempoh masa dalam filem itu), terdapat beberapa orang wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam syarikat dan bukan sahaja ahli keluarga,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, waris terbabit turut menjelaskan keluarga Gucci sangat menghormati usaha dan karya nenek moyang mereka. Semua kenangan dan ingatan terhadap asal usul mereka tidak patut dicemari oleh filem yang tidak menggambarkan watak protagonisnya dengan betul.

House of Gucci mengisahkan bagaimana pewaris tunggal Gucci iaitu Maurizio telah menghembuskan nafas terakhir kerana dibunuh oleh seorang pembunuh upahan yang didalangi bekas isterinya iaitu Patrizia Reggiani pada tahun 1995.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca