Dakwa Ada Yang Manipulasi ‘Instagram Story’, Ini Penjelasan Daripada Muzaffar Jakel

Adik kepada Datuk Haji Mohamed Faroz Mohamed Jakel iaitu Muzaffar tampil membuat penjelasan menerusi satu video berdurasi 11 minit dan 39 saat di laman Facebook dan Instagram.

Adik kepada Pengarah Urusan Kumpulan Jakel itu baru-baru ini terpalit dalam satu kontroversi di mana dia didakwa memuat naik satu posting di Instagram Story yang memperlekehkan orang Melayu.

Muzaffar berkata bahawa posting itu sebenarnya dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan dirinya menerima kecaman hebat daripada warganet.

Menurut Muzaffar lagi, apa yang lebih memburukkan keadaan ialah kewujudan satu akaun Facebook yang menggunakan nama Nor Lizah di mana ia membuat hantaran seolah-olah ‘menyebelahi’ pihak Jakel dan menghentam orang Melayu.

“Saya tidak kenal siapa Nor Lizah tetapi dia seolah-olah ‘menyebelahi’ saya untuk hentam orang menerusi komen. Dengan nama Allah SWT, saya tidak ada bangkitkan isu perkauman.

Tolang maafkan saya kerana memuat naik status berkenaan. Saya akui bahawa itu memang kesilapan saya kerana menaikkan sentimen Melayu. Saya juga buat laporan polis terhadap Nor Lizah. Saya buat laporan polis kerana saya berani. Berani kerana benar. Saya tidak takut,” ujarnya.

Adik kepada Pengarah Urusan Kumpulan Jakel itu tidak menafikan bahawa dia memuat naik status berkenaan ketika dirinya dalam keadaan yang tidak berapa baik.

Hal ini demikian kerana dia menerima cemuhan dengan bahasa yang tidak enak didengar selepas ada individu memuat naik salah satu Instagram Story Muzaffar di laman Twitter sehingga ia menjadi tular.

Ia kelihatan seolah-olah syarikat Jakel tidak peka kepada situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mahu memulakan operasi.

Walaupun begitu, Muzaffar menegaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat untuk membangkitkan isu perkauman ataupun memperlekehkan masyarakat Melayu.

“Keturunan saya dan bapa pun Melayu dalam sijil kelahiran kami. Saya tidak akan sama sekali main isu perkauman. Jakel berjaya pun kerana sokongan orang Melayu dari mula lagi sehingga sekarang,” tambahnya.

Sementara itu, Muzaffar merayu kepada orang ramai untuk tidak melancarkan serangan kepada ahli keluarganya yang lain kerana itu adalah kekhilafan dirinya sendiri.

“Abang saya adalah seorang yang humble dan sangat baik. Saya mahu pesan kepada mereka yang menghina arwah bapa untuk tolong berhenti.

Saya tidak boleh terima perkara itu. Arwah pun sudah lama pergi. Kesian saya dan ahli keluarga terutamanya ibu. Saya tidak beritahu ibu tetapi dia akan sedih apabila dia tahu,” jelasnya.

Akhir kata, Muzaffar tampil membuat permohonan maaf kepada warganet khususnya masyarakat Melayu di atas tindakannya memuat naik status yang menyebabkan ramai orang tersinggung.

“Dengan berkat bulan Ramadan, saya merendah diri dan susun jari untuk mohon maaf kepada semua orang. Maafkan saya. Kami juga maafkan semua orang yang melemparkan kata-kata yang tidak baik kepada saya, bapa dan ahli keluarga.

Saya tidak mempunyai perasaan sakit hati kepada orang Melayu yang meninggalkan kata-kata yang sangat kasar kepada kami. Saya tahu anda belum mengetahui cerita sebenar. Marilah kita sama-sama bermaafan dalam bulan Ramadan.

Saya minta anda semua untuk menyokong Jakel semula. Tolong muat naik perkara sebenar di laman Instagram anda di mana ia merupakan fitnah untuk jatuhkan Jakel. Yang baik datang daripada Allah SWT dan yang buruk pula datang daripada saya,” katanya.

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai usahawan tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca