Penulis pasti ramai di antara anda yang biasa melihat babak ikonik dalam filem The Lion King yang memaparkan Rafiki si babun memegang seekor anak singa bernama Simba di hadapan semua haiwan lain. Rupanya, insiden seperti itu berlaku di dunia nyata dan berjaya dirakam lensa kamera.

Menurut laporan, kejadian seperti babak filem popular itu berlaku di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan pada Sabtu lalu. Kurt Schultz yang merupakan pemilik institusi berkenaan berkata, beliau tidak pernah melihat insiden seperti itu berlaku dalam tempoh 20 tahun.
Menerusi kenyataannya, Kurt berkata, babun jantan itu melayan anak singa berkenaan seperti anaknya sendiri.

“Babun jantan sememangnya banyak menghabiskan masa membersihkan dirinya. Tetapi, perhatian yang diberikan kepada anak singa terbabit seolah-olah seperti babun betina yang sedang membersihkan anaknya,” jelas Kurt.
Tambah lelaki itu lagi, haiwan berkenaan dapat dilihat bergerak dari satu dahan pokok ke satu dahan yang lain bersama anak singa terbabit.
“Anak singa itu menunjukkan tanda-tanda keletihan. Berkemungkinan ia terhidrasi akibat cuaca yang panas,” katanya lagi.

Menurut Kurt, beliau percaya terdapat kemungkinan babun berkenaan menemui anak singa terbabit di sebuah kawasan di mana singa dan harimau bintang selalunya meninggalkan anak mereka sementara keluar memburu.

Meskipun kejadian berkenaan dilihat mempunyai persamaan dengan filem The Lion King, penamatnya mungkin tidak seindah kisah berkenaan. Hal ini adalah kumpulan babun terbabit sangatlah besar sehingga boleh mendatangkan kesukaran buat ibu singa sekiranya ia mahu mengambil anaknya semula.
“Saya pernah melihat babun seperti itu membunuh anak singa sebelum ini,” ujarnya.
Untuk membaca artikel lain berkaitan dunia haiwan, sila klik pada pautan di bawah: