Daging Tikus Dan Kelawar Panggang Menjadi Hidangan, Ini 6 Makanan Khas Dari Negara Seberang

Di sebalik keindahan dan kecantikan tempat percutian di Indonesia, tersirat pelbagai adat dan cara kehidupan bermasyarakat yang tentunya sedikit berbeza dengan budaya kita khususnya daripada aspek makanan.

Berikut kami kongsikan enam jenis makanan istimewa dari negara tersebut:

1. Rempeyek Laron

Laron atau lebih dikenali sebagai kelkatu sering didapati dalam kawasan rumah di bahagian-bahagian bercahaya seperti lampu pada waktu malam. Serangga ini semestinya menggelikan dalam kalangan masyarakat kita, namun laron merupakan makanan ringan yang paling digemari oleh sebahagian penduduk di Indonesia, khususnya Jawa Tengah.

Makanan ringan ini amat mudah untuk dihasilkan. Hanya dengan menggunakan tepung beras, air, laron, garam, bawang putih dan daun limau sudah menjadi resipi lengkap untuk menghasilkan makanan rangup ini.

2. Belalang Goreng

Makanan ringan yang menjadi kegemaran ramai terutamanya di daerah Gunungkidul Jogjakarta. Belalang ini akan digoreng sehingga rangup lalu dimasukkan ke dalam satu balang sebagai kudap-kudapan.

Tidak kurang juga di antara mereka yang menjadikan belalang ini sebagai lauk santapan bersama nasi panas. Bagi anda yang menggemari menu ayam penyet atau ayam geprek, Indonesia turut terkenal dengan hidangan lazat belalang geprek.

Makanan yang menggunakan belalang ini menjadi popular dalam kalangan mereka semenjak serangga ini dikatakan membiak dengan banyak di kawasan tersebut. Sehinggakan ada segelintir penduduk di situ yang bertukar kerjaya sebagai penangkap belalang.

3. Kelawar Panggang

Makanan ekstrem ini turut dikenali dalam kalangan masyarakat Jogjakarta dan Manado. Bagi penggemar kelawar panggang, mereka berpendapat bahawa daging tersebut mempunyai rasa yang lazat dan memiliki banyak khasiat.

Namun begitu, terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa daging kelawar tidak bagus diambil berikutan ia mampu memudaratkan kesihatan si pemakan.

4. Tikus Panggang

Percaya atau tidak, tikus juga merupakan satu daripada makanan istimewa di daerah Sulawesi Utara. Daging ini dikatakan mampu menyembuhkan penyakit ginjal.

Jenis tikus yang digunakan juga bukan sembarangan haiwan. Makanan ini pastinya menggunakan daging tikus bersih yang tinggal secara semula jadi dalam hutan dan sawah-sawah.

5. Jus Cacing Tanah

Cacing tanah semestinya kelihatan menggelikan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya. Namun, tahukah anda bahawa cacing tanah berkhasiat sebagai penawar bagi penyakit tifus? Oleh kerana cara penyediaannya agak rumit, anda boleh mendapatkan jus cacaing tanah ini dengan mudah di pasaran tempatan Indonesia.

Proses penghasilan jus ini bermula dengan mengeringkan cacing-cacing tersebut kemudian dijadikan serbuk. Serbuk itulah kemudiannya dijual dan dijadikan jus kepada sesiapa sahaja yang menggemarinya.

6. Lawar

Lawar merupakan sejenis hidangan paling popular dalam kalangan penduduk Bali. Makanan ini kebiasaannya dihidangkan sewaktu upacara khusus di tempat tersebut.

Juadah istimewa ini terdiri daripada pelbagai bahan makanan seperti sayuran, buah nangka, daging khinzir dan beberapa rempah yang dicampur dan digaul bersama sehingga menjadi satu hidangan enak.

Tidak cukup dengan itu, makanan ini kemudiannya dicampurkan dengan darah segar khinzir sebagai penambah warna agar kelihatan lebih menarik.

Keseluruhannya, kepada semua penggemar makanan eksotik, anda boleh berkunjung ke kawasan ini sekiranya melancong ke tempat-tempat percutian berkenaan untuk merasai kenikmatan dan kelazatan juadah tersebut.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca