Curi-Curi Baca WhatsApp Si Dia, Tindakan Pintar Atau Psiko?

Kunci dalam sesebuah perhubungan tidak kiralah cinta yang baru sahaja berputik ataupun perkahwinan adalah kepercayaan. Untuk memastikan perhubungan itu bahagia, kesetiaan dan kejujuran sangat penting malah tidak keterlaluan jika dikatakan kedua-dua ini merupakan kata kunci bagi hidup berpasangan.

Namun begitu, walaupun kebahagiaan itu pada dasarnya datang daripada kepercayaan terhadap pasangan, kita tidak seharusnya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap si dia. Lebih baik jika kita tinggalkan 10 peratus ruang buat rasa curiga terhadap pasangan masing-masing.

Kadang-kadang, apabila hanyut dibuai cinta, kita semua lupa yang kita ini cumalah manusia yang tidak lari daripada membuat kesilapan. Memang tidak dinafikan, perkelahian sememangnya tidak dapat dielakkan dalam sesebuah perhubungan.

Ada yang mengambilnya dari sudut yang positif dan menganggap perselisihan faham itu menjadikan hubungan mereka lebih dewasa. Namun begitu, ada juga segelintir yang mula mencari eskapisme dan bermula di situlah, segala janji setia dihancurkan dengan kecurangan.

Ada sesetengah individu yang mengatakan bahawa pasangan bahagia merupakan mereka yang tidak berselindung antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, mereka berkongsi segala benda termasuklah ruang privasi seperti keluarga, kawan, kenalan dan kisah silam.

Adakah benar apa yang diperkatakan, kebahagiaan akan muncul sendiri apabila pasangan mengambil tahu semua benda termasuklah gerak-geri masing-masing? Awak dekat mana? Tadi makan apa? Dengan siapa? Main PUBG dengan siapa?

Adakah ini dilihat sebagai ‘caring’ ataupun ‘overprotective’?

Sudah nama pun manusia, majoritinya mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi. Kalau boleh, semua benda berkaitan si dia mahu dirungkai. Selagi tidak bertemu dengan apa yang dicari, selagi itulah digali sehingga ada segelintir yang memilih untuk menggodam ruang privasi pasangan masing-masing termasuk kata laluan telefon pintar dan juga media sosial.

Sebenarnya, perkara ini bukanlah sesuatu yang baharu. Menurut Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Mariani Mohd Nor, aplikasi seperti WhatsApp menjadi pendorong kepada perbuatan curang yang membawa kepada perhubungan mesra hingga lupa batas pergaulan.

Pada masa yang sama, media sosial seperti Facebook dan WhatsApp juga mendorong kepada hubungan yang tidak baik antara suami isteri kerana kewujudan laman ini menjadikan sensitiviti perhubungan semakin hari semakin berkurangan.

Sebagai contoh, apabila berlaku salah faham dalam rumah tangga, media sosial dijadikan ‘diari’ dan segala ketidakpuasan hati diluahkan di situ. Kesudahannya, satu dunia tahu tentang perkara itu.

Jadi, macam mana pula dengan anda semua? Sejauh mana anda mengukur kejujuran pasangan masing-masing dalam kehidupan sehari-harian?

Pada pendapat anda, perlukah pasangan itu berkongsi segalanya sehingga tiada privasi kalau mahu hubungan itu berkekalan?

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca