Cuma Dibayar Gaji RM4 Sehari, Warga Emas Ini Terpaksa Tinggal Di Tandas Awam Selama Lebih 19 Tahun

Tidak semua orang di muka bumi ini bernasib baik dapat menetap di kediaman yang selesa. Begitulah nasib yang menimpa seorang warga emas ini di mana dia terpaksa menjadikan sebuah tandas awam sebagai rumahnya. Wanita yang dikenali sebagai Karuppayi itu bukan tinggal di tandas awam untuk sehari dua tetapi selama lebih 19 tahun.

Menurut laporan media tempatan, Karuppayi yang berusia 65 tahun itu tinggal di tandas awam yang terletak di kawasan Ramnad di Madurai, Tamil Nadu.

Difahamkan, Karuppayi bekerja sebagai pencuci tandas dan hanya dibayar gaji sebanyak RM4 sehari. Wang yang diperoleh itu sama sekali tidak cukup untuknya menyewa rumah atau bilik yang selesa.

Terdahulu, Karuppayi pernah memohon pencen warga emas namun permohonannya itu tidak berjaya.

Memandangkan wanita itu tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan lain, dia terpaksa tinggal di tandas tersebut. Dia sebenarnya mempunyai seorang anak namun darah dagingnya itu tidak pernah menjengahnya.

Kisah wanita malang ini menjadi tular di media sosial dan susulan itu, banyak pihak yang tampil bagi membantu warga emas tersebut.

Pada masa yang sama, rata-rata pengguna media sosial turut meminta agensi kerajaan untuk membantu meringankan beban Karuppayi.

Benarlah apa yang diperkatakan selama ini. Kadang-kadang, kita rasa hidup kita ini sudah cukup susah. Hakikatnya, masih ada yang jauh lebih susah dan ujian yang mereka terpaksa hadapi jauh lebih berat berbanding kita. Semoga kisah Karuppayi ini dapat membuka mata kita semua supaya menjadi insan yang lebih bersyukur.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca