Cuma Dibayar Gaji RM18 Sehari, Pasangan Ini Terpaksa Menumpang Duduk Dalam Stor Usang

Tidak semua orang di muka bumi ini bernasib baik dapat menetap di kediaman yang selesa. Begitulah nasib yang menimpa sepasang suami isteri ini di mana mereka terpaksa menjadikan sebuah stor lama sebagai rumahnya. Pasangan K Sinniah dan K Vicneswayi bukan tinggal di stor tersebut untuk sehari dua tetapi sejak lima tahun lalu lagi.

Difahamkan, stor yang terletak di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu dekat Alor Gajah, Melaka itu merupakan tempat untuk meletakkan jengkaut sebelum ia diubah suai menjadi tempat tinggal pasangan berkenaan memandangkan mereka tidak mampu memiliki kediaman sendiri dengan pendapatan cuma RM18 sehari sebagai penoreh getah.

Menurut laporan Sinar Harian, tanah yang menempatkan stor berkenaan kini dalam proses jual beli. Keadaan ini membuatkan Sinniah dan isteri menjadi resah memikirkan keadaan mereka selepas ini.

“Nak sewa rumah lain memang saya tak mampu dan sekarang hanya saya seorang sahaja bekerja. Lagipun isteri tidak sihat kerana kencing manis kronik. Kaki kirinya telah dipotong sejak lebih tiga tahun lalu.”

“Isteri juga baru sahaja menjalani pembedahan kedua membuang jari di kaki kiri beberapa minggu lalu dan pergerakannya juga agak terbatas,” katanya.

Tambah Sinniah, isterinya terpaksa membungkus kaki dengan menggunakan plastik beras bagi menggelakkan ia terkena batu hingga terpaksa menjalani pembedahan.

“Melalui cara itu sahaja dapat memulihkan kaki isteri. Lagipun kakinya cepat berpeluh dan keadaan rumah ini boleh menyebabkan batu atau pasir masuk di bahagian yang dibedah,” katanya.

Jelasnya lagi, meskipun mempunyai dua orang anak namun mereka cuma bekerja makan gaji sebagai jurupam stesen minyak manakala seorang lagi baru sahaja memulakan kerja semalam.

“Saya memang tak mampu nak ada rumah sendiri dan harap berpeluang mendapat bantuan rumah yang lebih selesa di bawah program ‘Rumah Peduli’.”

“Setiap hari saya memikirkan di mana kami mahu tinggal selepas ini dan kalau boleh biarlah mendapat bantuan di kawasan berdekatan agar saya boleh bekerja kampung untuk teruskan kehidupan,” katanya.

Pada masa yang sama, Sinniah juga mengatakan yang dia mengalami masalah penglihatan. Namun begitu, kekangan wang menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan rawatan.

Jadi, benarlah apa yang diperkatakan selama ini. Kadang-kadang, kita rasa hidup kita ini sudah cukup susah. Hakikatnya, masih ada yang jauh lebih susah dan ujian yang mereka terpaksa hadapi jauh lebih berat berbanding kita. Semoga kisah pasangan ini dapat membuka mata kita semua supaya menjadi insan yang lebih bersyukur.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca