Hari ini genap dua tahun aku berhijrah ke bumi Sakura.
Waktu berpindah dulu, aku sedang menanggung kekeringan mata kronik (penyakit mata). Tapi sebab dah rancang lama, tiket pun dah beli, aku datang juga ke Jepun. Tanpa biasiswa, aku datang ke Jepun dengan student visa dan sedikit wang simpanan. Terus minta permission to work as a part-timer waktu di imigresen airport.
Sebelum datang, memang aku dah ada secure kerja part-time di Jepun untuk tampung kos sara hidup. Tapi nak buat macam mana, dah bukan rezeki tiba-tiba company kata tak boleh hire aku kerja. Aku tak mahu cakap banyak ketika itu, hanya redha. Plan B belum ada ketika itu melainkan untuk teruskan hidup tanpa sumber pendapatan di tengah-tengah bandar paling mahal di dunia dengan mata yang tak boleh nak dibuka ketika itu.
Aku menyewa sebuah bilik kecil di dalam sebuah guesthouse dengan sewa RM1600 sebulan; bilik yang hanya boleh memuatkan satu tilam single dan sikit ruang solat serta drawer baju. Itu sewa paling murah yang ada berbanding menyewa di dormitory universiti. Tambahan pula lokasinya sangat strategik; di tengah-tengah nadi Tokyo!
Dua bulan pertama aku hanya duduk di bilik kerana mata masih belum pulih. Sungguh ketika itu aku berasakan Allah bagi aku peluang untuk berehat selepas berhempas-pulas, bekerja dan menyiapkan master pertama selama dua tahun sebelum itu.
Selepas mata beransur pulih hasil rawatan yang diterima dari hospital pakar mata (dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dan Universiti), aku mula mencari kerja parti-time. Alhamdulillah, dapat! Aku bekerja sebagai housekeeper dan sekali-sekala menjaga front desk di guesthouse yang terletak di Ryogoku; hanya 2 stesen dari universiti tempat aku belajar. Hanya itu kerja yang boleh aku dapat kerana aku tidak boleh berbahasa Jepun ketika itu.
Pada hari pertama, ada sedikit rasa malu dan aku bertanya pada diri sendiri, “apa yang aku sedang buat ni? Tinggalkan kerja yang selesa, hidup selesa di Malaysia dan ke mari untuk buat kerja ni?” Tapi aku ingat balik kenapa aku datang; untuk habiskan research master kedua aku dan semuanya untuk mama!
Aku masih ingat, sebaik sahaja wang simpanan yang aku ada habis, keesokan harinya aku terima gaji pertama aku hasil kerja part-time. Tiap kali dapat gaji, tolak bayar bilik, hantar duit kat mama tiap bulan, baki yang ada pada aku hanya tinggal ¥10,000 sahaja untuk makan sebulan. Tapi alhamdulillah makan tak pernah tersekat. Syukur tak pernah habis beras, tak pernah sampai bahagi dua Maggi sebungkus. Masih dapat makan ayam, salmon, udang, sotong, nasi lemak dan sebagainya. Syukur rumah dekat dengan Pasar Ameyoko. Bahan mentah murah di sana.
Bila fikir balik aku pun pelik, waktu poket tengah hujung-hujung nyawa, akan sentiasa ada rezeki yang datang; offer untuk jadi tour guide, personal shopper atau mengajar bahasa Melayu pada orang Jepun. Betapa Allah sering murahkan rezeki. Syukur.
Alhamdulillah selepas tempuh pahit getir hidup seorang diri di perantauan, aku berjaya tamatkan kajian master kedua aku dan diterima untuk bekerja bersama company Jepun yang beribu pejabat di Osaka. Allah makbulkan doa dan niat macam yang diimpikan. Alhamdulillah. Syukur sekali lagi.
Aku yang pernah duduk selama setahun di ceruk bilik kecil, kini menetap sendiri di rumah studio yang dibiayai oleh majikan. Aku yang dulunya pernah bekerja sebagai seorang cleaner langsung tidak pernah terfikir yang presiden salah sebuah syarikat automotif terkenal Jepun datang sendiri ke syarikat aku untuk duduk bermesyuarat berdua bersama beliau. Tidak pernah terfikir juga aku boleh diundang bersama untuk duduk dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah yang dibarisi oleh nama-nama besar Malaysia dan Jepun.
Sungguh aku tidak pernah menyesal membuat keputusan untuk keluar dari zon selesa dulu. Selepas kepayahan yang ditempuh, ada kemanisan rupanya yang menanti.
Cuma aku terkilan, semua ni untuk mama. Tapi mama tak sempat nak rasa manis tu lama. Cuma tujuh bulan sebelum mama pergi.
Hidup tak mudah, banyak cabaran. Cuma perlu lebih kuat dan perlu sentiasa ingat yang jika kita susah, ada orang lain yang lebih susah. Kalau kita kehilangan sesuatu, ada orang lain yang lebih perit menanggung kehilangan.
Angan-angan perlulah disertakan dengan usaha. Insya Allah dipermudahkan. Jangan pernah berhenti berdoa.
Perkongsian daripada Facebook Rozita Sawada Shin