‘Cucuk ATM Keluar Beras’, ATM Beras Jadi Tumpuan Ramai Semenjak Diperkenal

Semenjak ditempatkan dalam kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Ketereh, bermula Jumaat lalu, mesin ATM Beras menjadi tumpuan penduduk setiap hari di sini.

Kelantan menjadi negeri ketiga selepas Terengganu dan Kuala Lumpur untuk Program Mesin Automatik Mudah Alih (ATM) Beras ini dilancarkan bagi tujuan membekalkan beras percuma kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Orang ramai berbaris untuk mengambil beras percuma daripada mesin ATM khas di YKK, Ketereh, Kota Bharu. Sumber: Utusan Malaysia

Inisiatif tersebut telah memberikan kelegaan kepada mereka yang berpendapatan rendah, akui para penerima ketika ditemui pemberita. Tambah mereka, dengan bantuan ini, mereka tidak perlu lagi mencatu makanan atau risau terputus bekalan beras.

Salah seorang daripada mereka ialah suri rumah yang mahu dikenali sebagai Yati, 45, dia berharap mesin beras seperti itu dapat ditambah lagi di tempat-tempat lain.

“Keluarga saya besar dan disebabkan pendapatan suami sebagai buruh tidak menentu di musim pandemik ini, kami kerap kehabisan beras sehingga saya terpaksa mencatu makan anak-anak.

“Apabila ada program ini, saya tak perlu risau beras habis, datang sahaja ke ATM ini untuk ‘cucuk’ beras secara percuma. Sekarang, saya hanya perlu fikir cari duit untuk beli lauk sahaja,” katanya.

Infografik ATM Beras

Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh, Ahmad Termizi Musa, setiap hari terdapat sebanyak 500 kilogram beras dibekalkan dan orang ramai boleh mendapatkannya dengan mengemukakan kupon khas diagih pemimpin setempat.

Tambahnya, beras percuma itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan tidak terhad kepada penduduk dalam Parlimen Ketereh.

“Setiap orang dibenarkan mengambil beras melalui mesin ATM empat kali sebulan dan setiap kali pengeluaran, mereka boleh ambil antara dua hingga empat kilogram beras mengikut keperluan masing-masing.

“Selain beras, kita juga turut mengagihkan barang keperluan lain kepada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan penduduk miskin ,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca