Cubaan Merompak Gagal, Penjenayah Ini Akhirnya Dibelasah Peninju UFC

Seorang penjenayah menerima satu pengajaran apabila gadis yang hendak dirompak sebenarnya merupakan seorang peninju Ultimate Fighting Championship (UFC). Polyana Viana, seorang pejuang UFC daripada divisyen strawweight sedang menunggu Uber di hadapan pangsapuri rumahnya sebelum dia didatangi suspek.

Menurut Polyana, lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya secara tiba-tiba sambil bertanya tentang waktu ketika itu. Polyana yang sedar lelaki itu tidak mahu berganjak setelah dia memberitahu waktu jam segera mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Dia memaksa saya memberikan telefon bimbit saya,” ujar Polyana. “Dia turut mengugut saya untuk tidak melakukan apa-apa kerana dia mempunyai senjata.”

Namun begitu, Polyana sedar bahawa pistol yang dibawa lelaki itu adalah palsu kerana ia kelihatan terlalu lembik.

“Dia berdiri terlalu hampir dengan saya dan ketika itu saya terfikir, jika itu benar-benar sepucuk pistol, dia tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk mengeluarkannya,” tambah Polyana lagi.

Setelah berkira-kira, gadis itu berdiri sebelum mula membelasah suspek. Setelah lelaki itu jatuh ke tanah, Polyana menangkap lelaki itu dalam posisi yang digelar ‘rear-naked choke’. Dia kemudiannya memaksa lelaki itu duduk semula dan memberitahu bahawa mereka akan berada di situ sementara polis dalam perjalanan.

Ternyata, pistol lelaki tersebut diperbuat daripada kadbod.

Polyana berkata lelaki itu seakan-akan sudah menyerah kalah sebaik sahaja dia mula membalun lelaki tersebut. Suspek turut meminta untuk dilepaskan sebelum memilih untuk berdiam diri setelah melihat Polyana yang sedah marah. Malah, suspek turut meminta Polyana segera menelefon pihak polis.

“Mungkin dia (suspek) takut sekiranya saya memukulnya lagi,” kata Polyana.

Polyana merupakan gadis kelahiran Brazil. Wanita ini merupakan pejuang seni mempertahankan diri gabungan. Pada February 2018, Polyana muncul buat pertama kalinya di gelanggang UFC menentang Maia Stevenson dan telah memenangi acara tersebut.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca