Hajat 4 orang lelaki untuk ‘menculik’ seekor lembu dengan menyumbat haiwan jenis Brahman itu ke dalam kereta jenis Honda Civic tidak kesampaian apabila 3 daripada mereka ‘kantoi’ dan diberkas polis pada Khamis.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 3.15 pagi itu, ‘penculik’ cuba melarikan lembu berkenaan dari kandang yang bertempat di Jalan Sungai Lokan, Butterworth. Namun begitu, aksi mereka disedari pemilik kandang setelah terdengar salakan anjing di kawasan itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, sewaktu memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pemilik kandang yang berusia 52 tahun itu nampak 4 suspek dengan 2 kereta cuba melarikan haiwan ternakannya.

Menerusi rakaman CCTV itu, suspek pada mulanya menyumpit ubat pelali ke arah 2 ekor lembu, namun cuma sempat menyumbat seekor lembu sahaja ke dalam kereta sebelum melarikan diri.

Penternak lembu berkenaan kemudiannya bertindak mengejar kereta yang dinaiki suspek. Cemas dikejar, kereta yang dipandu mereka akhirnya terlanggar besi longkang lalu terbabas.

Noorzainy berkata, 3 suspek yang berusia 24 tahun hingga 26 tahun itu berjaya ditahan oleh penternak lembu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketiga-tiga suspek dilaporkan cedera akibat kemalangan itu dan dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi tujuan rawatan dan direman polis.

Seorang lagi suspek pula berjaya meloloskan diri dan kini sedang dikesan pihak polis.

Siasatan mendapati bahawa salah seorang daripada 3 suspek yang diberkas mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry