Cuba Masuk Malaysia Dengan Permit Yang Mengelirukan, Kucing Ini Akhirnya ‘Ditahan’ Di KLIA

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan seekor kucing betina baka British Short Hair kerana import permit yang dikemukakan mengelirukan.

Kucing tersebut tidak dibenarkan masuk ke Malaysia dek nombor mikrocip haiwan betina tersebut tidak sama dengan yang dikemukakan menerusi permit importnya.

Kucing yang ditahan berkenaan merupakan salah satu daripada 12 kucing yang diimport dari Rusia di Kompleks Kargo KLIA Sepang 1 Ogos lalu.

Mohamad Maelah, Ketua Pintu Masuk MAQIS Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo berkata, MAQIS terpaksa menahan seekor kucing tersebut untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengemukakan permit palsu, tidak tepat atau mengelirukan,” tambah beliau.

Kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pada 29 Julai lalu, tiga anak bonsai yang diimport dari Tanzania, Afrika turut tidak dibenarkan masuk ke Malaysia akibat tiada import permit sah dari MAQIS.

“Perbuatan mengimport anak pokok bonsai tanpa mempunyai permit import sah daripada jabatan ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.”

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” kata beliau mengenai kes tersebut.

Mohamad berkata lanjut, pintu masuk negara akan sentiasa dipantau oleh MAQIS agar haiwan peliharaan atau tumbuhan yang dibawa masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca