COVID-19: Wanita Pakai Kostum Zirafah Lindungi Diri

Bekalan penutup mulut dan hidung di China semakin berkurangan selepas republik berkenaan dibadai wabak Koronavirus baharu (COVID-19) semenjak Disember tahun lalu.

Meskipun syarikat pengeluar bekerja keras demi menghasilkan penutup mulut dan hidung yang cukup buat seluruh rakyat republik itu, pembelian secara panik yang dilakukan kebanyakan penduduk menyebabkan sesetengah masyarakat gagal mendapatkan perlindungan kesihatan yang sepatutnya.

Susulan daripada masalah itu, penduduk di China terpaksa menjadi kreatif dan mencipta alat perlindungan mereka sendiri untuk mengelak daripada dijangkiti virus COVID-19 yang membawa maut itu.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai He menjadi tular baru-baru ini selepas satu rakaman video menunjukkan dia di sebuah hospital di China sambil memakai sut perlindungan yang sangat unik.

Menurut laporan, He tiba di sebuah hospital di wilayah Sichuan dengan berpakaian sut kostum zirafah kerana mahu mengambil ubat-ubatan buat ahli keluarganya. Jelas wanita itu, dia tiada pilihan lain kerana penutup mulut dan hidung sudah habis dijual di pasaran.

He dilihat melawat hospital yang terletak di Luzhou itu dengan berpakaian kostum lengkap yang melitupinya dari hujung rambut sehingga ke kaki. Sebuah tingkap kecil lutsinar membantu He melihat saat dia mengenakan pakaian berkenaan.

Tambah He lagi, dia juga ada membawa satu lagi kostum sama berupa makhluk asing untuk melindungi dirinya daripada ancaman wabak andai kata sut zirafah yang dipakainya mengalami kebocoran.

“Saya adalah yang paling sihat di antara ahli keluarga jadi saya bersetuju untuk keluar membeli barangan dapur dan sebagainya. Saya tidak mahu ibu bapa saya dijangkiti virus terbabit,” katanya.

Walaupun usaha He untuk melindungi dirinya dilihat sebagai sesuatu yang lucu dan boleh dicontohi, pihak kerajaan menjelaskan kostum yang dipakai wanita berkenaan sebenarnya tidak mampu untuk melindungi orang lain daripada dijangkiti Koronavirus.

“Sut itu harus dinyahjangkit setiap kali selepas digunakan,” tambah kerajaan lagi.

Selain itu, pihak perubatan China turut menasihati orag ramai untuk menukar penutup mulut dan hidung sekerap mungkin kerana bakteria mampu membiak jika produk itu diguna semula.

Bagi pakar perubatan yang bertugas pula, mereka diminta untuk menukar penutup mulut dan hidung baharu setiap enam jam.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca