COVID-19: Wabak Cetus Pembelian Panik Di Kebanyakan Negara

Penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19) telah mengakibatkan fenomena pembelian panik berlaku dalam kalangan pengguna di kebanyakan negara pada ketika ini.

Negara jiran, Indonesia juga tidak terkecuali daripada fenomena ini. Selepas kerajaan mengumumkan kes jangkitan pertama COVID-19 yang melibatkan dua pesakit pada Isnin lalu, pengguna dilaporkan mula berpusu-pusu untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan.

Hal ini sekali gus mengakibatkan toko-toko jamu diserbu orang ramai susulan mereka percaya bahawa ubatan yang berasaskan herba mampu mencegah jangkitan virus membawa maut itu.

Para peniaga pula menyuarakan rasa hati mereka setelah harga bahan utama untuk minuman seperti halia merah kini melambung tinggi ekoran permintaan yang terlalu banyak.

“Harga halia merah meningkat daripada 30,000 rupiah (RM9) kepada 50,000 rupiah (RM14) sekilogram malah temulawak (halia jawa) kini dijual pada harga 12,000 rupiah (RM3.50) daripada harga asal 4,000 rupiah (RM1.20) sekilogram,” kata Sumini, seorang peniaga jamu di Colomadu, Kabupaten Karanganyar, Jawa Tengah.

Menurut peniaga itu lagi, tumbuhan berkenaan adalah bahan utama bungkusan rempah dalam penghasilan minuman herba yang digelar empon-empon.

Menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Chairul Anwar Nidom dari Universiti Airlangga di Jawa Timur, pengambilan minuman tradisional terbabit dapat meningkatkan sistem daya tubuh individu terhadap penyakit.

Hasil kajian Chairul mendapati empon-empon mempunyai kesan yang mujarab untuk mengurangkan gejala simptom selesema burung.

Difahamkan, universiti tersebut akan melakukan penyelidikan lanjut untuk menentukan sama ada minuman tersebut mempunyai kesan sama terhadap Covid-19.

Di Australia pula, pemborong utama terpaksa mengehadkan pembelian tisu tandas selepas fenomena sama membadai negara itu suslan Canberra kini merekodkan kes ketiga jangkitan tempatan yang melibatkan pesakit yang belum pernah ke luar negara.

Semenjak beberapa hari yang lalu, platform media sosial dibanjiri dengan foto keadaan ketika pembelian panik berlaku.

Antara barangan yang sering habis adalah produk sanitasi, makanan seperti beras dan telur serta tisu tandas.

Disebabkan bekalan tisu tandas yang semakin berkurangan ini juga, tanda pagar #toiletpapergate dan #toiletpapercrisis telah dilakukan di laman sosial Twitter.

“Kami cuba meyakinkan orang ramai tindakan mereka menghabiskan bekalan tisu tandas di rak pasar raya bukan perkara yang wajar dilakukan ketika ini,” kata Ketua Perubatan Australia, Brendan Murphy.

Sehingga kini, sebanyak 41 kes jangkitan Covid-19 telah dilaporkan di negara itu dan kebanyakannya melibatkan mereka yang dipindahkan dari kapal persiaran Diamond Princess di Jepun.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca