COVID-19: UPSR Dan PT3 Tahun 2020 Dibatalkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020.

Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan tersebut berkuat kuasa kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Menurut beliau lagi, sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

“Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Menteri Pendidikan yang berlangsung dari Putrajaya pada hari ini.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

“Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik,” jelas Dr. Mohd Radzi Md Jidin

Walaupun kedua-dua peperiksaan awam tersebut dibatalkan, beliau berkata bahawa KPM akan memastikan akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberikan keutamaan.

“KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid,” tambahnya.

Apa-apa pun, jaga diri anda dan patuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan. Semoga satu dunia terutamanya negara kita cepat membaik!

Sebelum ini, kami ada kongsikan kisah yang hampir sama dengan cerita di atas. Untuk membaca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca