COVID-19: UiTM Dan UTP Keluar Pekeliling Pelaksanaan Kuliah Dalam Talian

Dalam usaha untuk mengawal dan membendung penularan Covid-19, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini mengeluarkan pekeliling khas supaya pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian.

Naib Canselor UiTM iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata Pekeliling Naib Canselor itu berkuat kuasa serta-merta bagi semua UiTM di seluruh negara.

Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim

Menurut Dr. Azrai Kassim, “Kita buat keputusan pagi ini, kita akan mengedarkan pekeliling hari ini ke seluruh sistem bagi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.”

“Keputusan ini melihat kepada keadaan semasa tempat wabak ini menular, tambahan pula ada kakitangan dan pelajar terbabit dengan perhimpunan di Sri Petaling, maka kita mahu melindungi kakitangan dan pelajar lain.”

“Kuliah secara dalam talian hampir 70 hingga 80 peratus sudah dilaksanakan tapi hari ini kita buat keputusan menyeluruh.”

“Keputusan diambil bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan melihat kepada keadaan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dengan UTP di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UTP, Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Timbalan Naib Canselor Akademik UTP, Profesor Dr Hilmi Mukhtar dan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Profesor Dr Sohaimi Zakaria.

Dr. Azrai Kassim berkata, pihak UiTM telah mengenal pasti 15 kakitangan dan 23 pelajar yang menyertai perhimpunan di Sri Petaling baru-baru ini.

“Kita arahkan mereka ke Pusat Kesihatan UiTM dan Alhamdulillah, semua negatif tetapi kita letakkan mereka dalam pengawasan di rumah,” katanya.

Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib

Sementara itu, Dr. Ibrahim turut mengesahkan UTP mengambil pendekatan sama sebagai langkah awal untuk berjaga-jaga supaya tidak menjadi lebih teruk.

“Hari ini kita keluarkan pekeliling kepada pelajar dan kakitangan UTP, setakat ini untuk seminggu sahaja tetapi akan buat keputusan seterusnya.”

“Kita buat kuliah dalam talian kerana kebanyakan pelajar datang dari sekitar Kuala Lumpur, ada yang ulang-alik. Takut kalau tidak dikawal akan jadi lebih teruk.”

“Setakat ini dua kakitangan dikenal pasti berada dalam kuarantin di rumah, sudah diarah menjalani rawatan dan menunggu keputusan Pesakit Dalam Siasatan (PUI). Alhamdulillah, belum ada yang positif.” katanya.

Keputusan yang diambil oleh pihak Universiti dalam usaha membendung daripada menularnya wabak Covid-19 merupakan satu keputusan yang tepat. Perkara ini kerana penularan wabak Covid-19 boleh berlaku dengan pantas dan tidak boleh dijangka. Penulis berharap para pelajar menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin dan tidak banyak melakukan aktiviti luar dan menjalani proses pembelajaran dalam talian dengan konsisten.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca