COVID-19: Timbalan Presiden Iran Antara 7 Pegawai Kerajaan Disahkan Positif

Selepas Timbalan Menteri Kesihatan, seorang lagi pegawai kanan kerajaan di Iran disahkan positif wabak Koronavirus baharu (COVID-19).

Timbalan Presiden Iran, Masoumeh Ebtekar dianggarkan menjadi sekurang-kurangnya tujuh pegawai kerajaan negara itu yang disahkan dijangkiti virus membawa maut berkenaan.

Memetik laporan media, Ebtekar yang juga memegang portfolio Hal Ehwal Wanita dan Keluarga kini dikuarantin di rumah. Beliau tidak dimasukkan ke hospital kerana hanya mengalami simptom ringan COVID-19.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi dan seorang Ahli Parlimen republik Islam itu, Mahmoud Sadeghi turut disahkan telah dijangkiti COVID-19.

Setakat ini, sekurang-kurangnya terdapat 26 individu di negara itu yang meninggal dunia dan 254 yang lain disahkan positif wabak berkenaan.

Hal ini menjadikan Iran sebagai negara yang merekodkan jumlah kes kematian akibat COVID-19 tertinggi di luar China.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyuarakan kebimbangan mereka susulan angka kematian di republik itu agak tinggi memandangkan ia menunjukkan kes gejala ringan yang tidak dikesan.

Selain itu, Iran juga dikritik kerana didakwa kurang telus dalam menguruskan wabak berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, Iran kini bertindak menyekat kemasukan warga China ke negara mereka.

Menurut laporan, Qom iaitu sebuah bandar yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah disyaki menjadi pusat penularan COVID-19 di negara republik Islam itu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca