COVID-19: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Mungkin Berlanjutan 2 Bulan

Hari ini sudah memasuki hari ke-enam Perintah Kawalan Pergerakan terlaksana di negara kita. Seperti yang kita maklum, pihak berkuasa seperti pihak polis dan juga tentera sedang menjalankan tugas mereka untuk mengawasi mana-mana pihak yang keluar dari rumah.

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlanjutan dua bulan lagi jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini gagal membendung atau mengurangkan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pakar virologi dari Universiti Malaya iaitu Profesor Dr. Sazaly Abu Bakar tidak menolak kemungkinan itu jika rakyat terus ingkar terhadap pelaksanaan PKP dengan cara mengabaikan penjarakkan sosial serta tidak mengutamakan amalan batuk dan kebersihan yang baik.

“Jika masih ada kelompok rakyat yang berdegil, situasi semasa yang memerlukan kita duduk di dalam rumah, boleh berlanjutan sehingga enam hingga lapan minggu lagi.”

“Masalahnya, rakyat kita tiada disiplin seperti warga Korea atau Jepun. Ketika ke hospital semalam, saya lihat masih ada yang bersentuhan dan tidak menutup mulut ketika batuk,” katanya lagi.

Selain daripada kedegilan rakyat, Dr. Sazaly mengatakan bahawa faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kegagalan mengakhiri penularan jangkitan COVID-19 adalah tindakan orang ramai pulang ke kampung halaman sejurus PKP diumumkan.

“Adalah satu kesilapan apabila orang dari kawasan tinggi jangkitan iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor pulang ke kampung.”

“Kita seolah-olah tidak belajar pada kesilapan sama dilakukan Itali, yang akhirnya menyebabkan wabak coronavirus bertambah kronik di negara itu,” ujarnya.

Dr. Sazaly mencadangkan pihak kerajaan menjadikan Korea, Jepun serta Taiwan sebagai contoh. Mereka bertindak agresif melaksanakan ujian komuniti dengan mengerah jentera perubatan mereka membuat ujian dari pintu ke pintu.

“Ketika ini, kita masih menunggu orang sakit atau disahkan positif (melalui pengesanan kontak) datang ke hospital. Ibaratnya menunggu sama ada mangsa sakit, pulih atau meninggal dunia.”

“Sekarang keadaan ‘darurat’ dan sedang berperang, tak boleh guna cara lama. Di Korea dan Jepun, mereka kerah jentera perubatan cari pesakit. Contohnya, Korea buat 20,000 ujian COVID-19 dalam sehari.”

“Kita perlu masuk ke kawasan yang dikategorikan tinggi wabak dan uji semua orang dalam kawasan itu. Jika positif, ajar kaedah kuarantin dan terus beri ubat, tidak semestinya mereka perlu ke hospital.”

“Ujian komuniti ini bukan sahaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah polis, tentera, pihak universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) berkelayakan juga boleh dikerah membantu. Dalam saat perang ini, gunakan apa saja sumber yang ada, tak boleh bergerak sendirian,” katanya yang tidak menolak kemungkinan Malaysia menjadi seperti Itali jika langkah agresif itu tidak diambil.

Dalam masa yang sama, beliau turut mewujudkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang tidak berkait dengan kluster tabligh. Perkara ini menggesa KKM segera melaksanakan penjujukan genom virus bagi mengenal pasti punca jangkitan berkenaan.

Penjujukan genom itu juga perlu disegerakan bagi mengenal pasti punca majoriti kes kematian akibat jangkitan COVID-19 di Malaysia membabitkan golongan berusia 60 tahun ke bawah. Situasi ini jelas berbeza dengan kes di China, Itali, Jepun dan juga negara lain.

“Tujuh daripada 10 kes kematian di Malaysia adalah 60 tahun dan ke bawah, sedangkan negara lain majoriti kes kematian adalah individu 60 tahun atau 80 tahun ke atas,” tegas Dr. Sazaly.

“Kita perlu kenal pasti menerusi penjujukan genom, sama ada virus yang menyerang di Malaysia lebih bahaya serta dari mana datangnya virus yang menjangkiti jemaah tabligh dan kes-kes lain,” ujarnya lagi.

Perintah Kawalan Pergerakan berkemungkinan boleh ditambah tempohnya jika setiap hari masih berlaku peningkatan pesakit yang positif COVID-19. Pihak kerajaan pasti merangka pelan tindakan terbaik jika peningkatan masih berlaku sehingga 31 Mac ini.

Apa-apa pun kami berharap semua pihak berganding bahu untuk menghapuskan penularan ini secepat mungkin supaya kita semua dapat kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca