COVID-19: Tanpa ‘Mengunci’ Bandar, Kes Turun Mendadak Di Korea Dan Ini Adalah Rahsianya

Di saat negara kita semakin bertambah kes berkaitan wabak COVID-19, lain pula yang terjadi di Korea apabila jumlah kes penyakit di negara itu turun dengan mendadak.

Negara dengan penduduk 50 juta ini nampaknya berjaya memperlahankan penularan wabak Covid-19, dengan melaporkan hanya 74 kes baru pada 17 Mac lalu berbanding 909 ketika kemuncaknya pada 29 Februari.

Menariknya, Korea Selatan berbuat demikian tanpa mengunci seluruh bandar atau mengambil langkah seperti meminta rakyat untuk tidak keluar dari rumah.

Salah satu rahsianya adalah dengan tidak menimbulkan kekacauan atau kebimbangan dalam kalangan rakyat.


Kim Woo-Joo iaitu pakar penyakit di Universiti Korea berkata, Korea Selatan adalah sebuah republik demokratik dan saya rasa kekacauan bukan pilihan yang munasabah.

Selain itu, rahsia kejayaan tersebut adalah daripada program ujian terluas dan paling teratur di dunia dan digabungkan dengan usaha meluas untuk mengasingkan orang yang dijangkiti daripada kontak rapat.

Pengalaman Korea Selatan dalam menangani penularan wabak Covid-19 menunjukkan bahawa diagnostik pada skala besar adalah kunci kepada kawalan epidemik di samping telah menyaring sebanyak lebih daripada 270,000 orang iaitu jumlah paling ramai jika dibandingkan dengan mana-mana negara lain.

Pada tahun 2015, Korea Selatan telah belajar betapa pentingnya penyediaan rapi melalui kesilapan dan pengalaman pahit sindrom MERS.

Selepas pulang dari lawatan, seorang usahawan Korea Selatan dijangkiti dengan MERS dan telah dirawat di tiga kemudahan kesihatan Korea Selatan sebelum dia didiagnosis dengan MERS dan dikuarantin. 

Namun pada masa itu, usahawan tersebut telah meninggalkan rantaian penularan wabak yang menjangkiti 186 orang dan membunuh 36 orang, termasuk pengunjung dan kakitangan hospital.

“Pengalaman itu menunjukkan bahawa ujian makmal adalah penting untuk mengawal penyakit berjangkit yang baru muncul dan secara tidak langsung sindrom MERS membantu kami memperbaiki pencegahan dan kawalan jangkitan hospital. Setakat ini juga, tiada laporan mengenai jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja penjagaan kesihatan di Korea Selatan,” kata Kim.


Selepas COVID-19 muncul di China, Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) berlumba-lumba membangunkan kit ujian komersial.

Ujian pertama telah diluluskan pada 7 Februari, di mana ketika negara itu hanya ada beberapa kes dan segera diedarkan ke pusat-pusat kesihatan daerah. Pada 11 hari kemudian, seorang wanita berusia 61 tahun, yang dikenali sebagai “Case 31,” diuji positif.

Pesakit yang berisiko tinggi diberi keutamaan untuk dimasukkan ke hospital. Manakala mereka yang mempunyai gejala sederhana pula akan dihantar ke kemudahan latihan korporat dan ruang yang disediakan oleh institusi awam, di mana mereka mendapat sokongan dan pemerhatian perubatan asas.

Korea Selatan juga telah mengenakan hukuman keras ke atas mereka yang melanggar perintah kuarantin.

Bagi sesiapa yang melanggar perintah kuarantin akan menghadapi denda sehingga 3 juta won (RM10,467). Jika rang undang-undang baru-baru ini telah berkuatkuasa, jumlah denda akan meningkat sehingga 10 juta won (RM34,888) dan setahun penjara.

Paling mengagumkan ialah tiada satu bandar pun yang dikawal pergerakan selama wabak COVID-19 menular di Korea Selatan.

Kerajaan di Korea Selatan telah menasihatkan orang ramai untuk lakukan perkara paling asas iaitu memakai topeng muka, mencuci tangan, menghindari orang ramai dan mesyuarat, bekerja dari rumah, dan sertai perkhidmatan keagamaan dalam talian daripada pergi ke gereja.

Bagi yang mempunyai simptom seperti demam atau penyakit pernafasan digesa untuk tinggal di rumah dan memerhati gejala mereka selama 3 hingga 4 hari sebelum pergi ke hospital.

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai COVID-19, klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca