COVID-19: Status PKP Dijangka Bakal Terjawab Pada Hari Ini

Tamat atau dilanjutkan? Itu adalah persoalan yang menyelubungi minda rakyat Malaysia pada waktu ini. Mana tidaknya, mereka telah menyaksikan satu perubahan yang ketara terutamanya daripada segi gaya hidup dalam tempoh empat minggu ini.

Ramai penganalisis ekonomi turut berpendapat bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukan sahaja memberi impak kepada gaya hidup penduduk tetapi ia bakal menjejaskan pelbagai sektor ekonomi di dalam negara.

Walaupun pelaksanaan PKP ini sukar diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia pada mulanya, namun ia dilakukan untuk kebaikan bersama iaitu bagi mengawal penularan COVID-19 dalam negara.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir daripada rakyat Malaysia yang masih pentingkan diri sendiri dengan tidak patuhi arahan kerajaan untuk kekal di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa data yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan akan dianalisis secara terperinci untuk membuat ramalan sama ada jumlah kes COVID-19 ini akan melonjak atau sebaliknya.

Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan 109 kes positif COVID-19 baharu pada 9 April 2020.

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat satu pengumuman mengenai langkah-langkah seterusnya untuk membendung penularan wabak meragut nyawa berkenaan pada hari ini.

Terdapat kemungkinan bahawa beliau akan mengumumkan status PKP yang telah bermula pada 18 Mac lalu. Adakah PKP bakal ditamatkan pada 14 April 2020? Sama-sama kita nantikan pengumuman perdana menteri itu nanti.

Untuk baca lebih banyak artikel berkaitan PKP, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca