COVID-19: Status PKP Akan Ditentukan Dalam Masa 72 Jam

Lanjut atau ditamatkan? Persoalan itu yang menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia. Status arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam lagi, selepas dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi menghentikan penularan pandemik COVID-19.

Seperti yang umum tahu, PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini dan kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat. Perkara ini pastinya dinantikan rakyat di seluruh pelusuk tanah air.

Jika dilihat semula, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP hari ini dan ingin kembali kepada kehidupan normal, namun kerajaan pastinya akan membuat keputusan tepat dan terbaik untuk semua berdasarkan situasi semasa kes COVID-19 di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia merekodkan 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya, kata Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, sebanyak 170 kes baharu COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan semalam. Ia menjadikan jumlah kes positif 3,963 kes membabitkan keseluruhan 63 kematian.

Apa yang kita boleh berbangga adalah apabila indeks jenayah di seluruh negara turun sebanyak 70 peratus sepanjang tempoh PKP. Namun, tangkapan individu yang ingkar PKP di seluruh negara sehingga semalam sudah mencecah 6,451 orang.

Menyentuh mengenai operasi sanitasi awam COVID-19, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 666 operasi sanitasi di 79 zon termasuk kesemua 18 Zon Merah.

Dalam tempoh itu, bangunan kerajaan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) turut dinyah cemar termasuk 24,077 unit rumah PPR.

Sudah pasti operasi itu penting kerana kini terdapat satu lagi lokasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), yang terbaharu iaitu di bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di tiga kawasan iaitu Simpang Renggam, Kluang, Johor; Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, dan Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, rakyat dan syarikat korporat turut bersama-sama kerajaan membantu membendung wabak COVID-19 termasuk melalui sumbangan kepada Tabung COVID-19 yang kini mencecah RM22.6 juta untuk disalurkan kepada pihak yang berkenaan.

Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantaran di laman Facebooknya, berkata sehingga Isnin lalu, sejumlah RM5.68 juta dana daripada tabung itu disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tujuan pembelian barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas akibat wabak tersebut.

Beliau berkata sebanyak RM195,000 juga disalurkan atas nama Bayaran Ihsan Kematian kepada 39 waris mangsa jangkitan COVID-19.

Tabung telah COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

Apa-apa pun, Malaysia memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya untuk patuh arahan PKP ini bagi membendung penularan pandemik COVID-19 daripada terus menular atau memberi kesan yang tidak sepatutnya. Tempoh PKP sebenarnya terletak di tangan rakyat Malaysia semua. Oleh itu, jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi peraturan.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca