COVID-19 Sah Jadi Nama Rasmi Koronavirus Baharu

COVID-19 yang membawa makna Penyakit Virus Korona adalah nama rasmi bagi novel Koronavirus 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Ketua Pengarah WHO yakni Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam takimat media harian mengenai virus itu di Geneva, Switzerland pada hari Selasa.

Selain itu, perkara berkenaan juga dikongsikan kepada umum menerusi laman Twitter rasmi WHO.

Dr. Tedros menjelaskan bahawa makna nama COVID-19 boleh dipecahkan dimana co bermaksud korona, vi (virus) dan d (penyakit).

” Di bawah garis panduan yang dipersetujui antara WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kami harus mencari nama yang tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan manusia dan berkaitan dengan penyakit ini,” katanya.

Jelas Dr. Tedros lagi, dengan adanya nama rasmi bagi penyakit ini, penggunaan nama lain yang tidak tepat dan menimbulkan stigma dapat dielakkan.

Setakat ini, COVID-19 yang kali pertama dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember tahun lalu telah menjangkiti lebih 42,708 individu dan mengakibatkan 1,017 kematian di republik sama.

Dalam pada itu, sebanyak 393 kes penyakit sama turut dilaporkan di 24 negara termasuk 18 daripadanya di Malaysia. Satu kematian akibat COVID-19 telah dilaporkan di Filipina.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca