COVID-19: Pusat Kuarantin Di MAEPS Terima Pesakit Mulai Minggu Hadapan

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang dijangka mula menerima pesakit pada minggu hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mardi Corp iaitu Zaidi Shahrim berkata, persediaan pusat berkenaan telah mencecah hampir 95 peratus dan kemungkinan pusat itu dibuka sebelum Ahad ini.

“MAEPS akan terima pesakit COVID-19 yang berisiko rendah dari sekitar Lembah Klang, Melaka dan beberapa kawasan di Perak,” katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi Skype oleh Bernama.

Mengulas tentang proses menukar ‘wajah’ MAEPS kepada pusat kuarantin dalam masa singkat, beliau berkata kesukarannya adalah untuk mendapatkan bahan bekalan daripada kontraktor kerana banyak pihak terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita terima arahan ketika fasa pertama PKP tetapi Alhamdulillah, dengan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), bomba dan lain-lain syarikat, kita dapat merealisasikannya dalam masa empat hari ini,” jelasnya.

Zaidi juga menyatakan fasiliti yang disediakan di MAEPS sama seperti kemudahan serta keperluan di hospital iaitu katil, ruang mandi, bilik persalinan, tandas, ruang istirahat dan sebagainya.

Antara perkhidmatan yang turut disediakan di pusat kuarantin itu ialah perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit COVID-19, ruang resusitasi untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray, dan perkhidmatan makmal patologi.

Pusat kuarantin sementara itu mampu menampung sehingga 600 pesakit pada satu-satu masa. Ia diselaraskan oleh Nadma dengan kerjasama KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca