Berikutan penularan wabak COVID-19, PROTON Holdings Bhd. mengambil pendekatan untuk meminjamkan 50 unit model X70 kepada Kementerian Kesihatan bagi digunakan kakitangan kementerian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON iaitu Dr. Li Chunrong berkata, kereta-kereta tersebut akan digunakan untuk membawa pergi dan pulang kakitangan dari tempat kerja serta menghantar mereka ke mana-mana kawasan di negara ini yang menjadi tumpuan dan memerlukan perhatian segera.
“Sebagai pengeluar kereta di Malaysia dan penyumbang utama kepada industri automotif tempatan, PROTON melihatnya sebagai satu kewajipan untuk membantu kerajaan membendung penyebaran COVID-19.
“Kami amat menghargai jasa barisan hadapan negara dan merasakan bahawa ini adalah bantuan yang dapat kami tawarkan dalam masa yang singkat.
“Buat masa ini, ia adalah bantuan secara langsung yang boleh kami berikan, tetapi pada masa sama, kami juga mencari pelbagai cara lain untuk menghulurkan bantuan dan sokongan,” katanya.
PROTON juga memperoleh kelulusan untuk meneruskan semua operasi penting syarikat sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia merangkumi penyelenggaraan fasiliti pengeluaran dan juga pembukaan pusat servis terpilih.
Pusat servis terpilih yang dibuka itu adalah untuk memberi khidmat servis kepada kereta-kereta PROTON yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan yang beroperasi.
Mengulas lanjut tentang perkara ini, Dr. Chunrong berkata menyatakan bahawa PROTON juga amat mementingkan kesihatan dan keselamatan semua pekerjanya yang berjumlah hampir 10,000 orang.
Sepanjang tempoh PKP, menurutnya, status kesihatan setiap pekerja dipantau sebanyak dua kali setiap hari. Sekiranya ada pekerja yang disyaki dijangkiti, mereka akan diasingkan segera dan diberi rawatan sewajarnya.
“Pemantauan ini termasuklah di hujung minggu dan turut mengambil kira lokasi keberadaan mereka serta status kerja dalam memastikan mereka kekal produktif.
“Sebelum PKP dilaksanakan lagi, semua pergerakan pekerja yang perlu bertugas di luar syarikat diterhadkan bermula awal Februari 2020.
“Selain itu juga, mereka yang pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari termasuklah perlu diperiksa sebelum dan selepas tempoh kuarantin,” ujarnya lagi.
Usaha PROTON ini dilihat sangat prihatin dengan kebajikan barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus untuk menangani COVID-19. Diharapkan seluruh rakyat Malaysia terus patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan supaya wabak ini dapat dibendung dengan segera.
Untuk baca artikel lain berkenaan PROTON, anda boleh klik pada pautan di bawah: