COVID-19: Perlu 6 Bulan Untuk Pulihkan Ekonomi Selepas Wabak Berakhir

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed mengatakan bahawa kerajaan menjangkakan tempoh pemulihan ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan selepas wabak COVID-19 berakhir.

Menurut beliau, keadaan ekonomi akan kembali pulih bukanlah dengan kadar segera dan disebabkan itu sasaran tempoh tersebut dipilih kerana ia dilihat wajar.

“Disebabkan itu, segala pembayaran, seperti hutang bank, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ditangguhkan enam bulan, jadi itulah jangkaan kita.

“Kita doakan begitu, maka sudah pasti kita perlu cari strategi lain untuk memulihkan keadaan,” ujarnya.

Beliau berkata lagi pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan serta pelaburan negara terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Sektor pelancongan umpamanya, orang tidak akan datang serta-merta ke Malaysia, jadi kita perlu membuat promosi yang agak agresif,” kata beliau.

Menurut Datuk Mustapa, terdapat sesetengah negara yang terjejas COVID-19 menjangkakan negara mereka akan mengambil masa yang lebih lama dari enam bulan. Negara-negara tersebut menjangkakan ia sekurang-kurangnya sembilan bulan sehingga setahun bagi membangunkan kembali kestabilan ekonomi masing-masing.

Selain daripada itu, beliau juga berkata kerajaan sedia mengadakan perbincangan dan menerima cadangan daripada sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang mendakwa mereka tercicir daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Ia merupakan bilangan yang besar dan sudah pasti ia di luar kemampuan kerajaan. Apapun kerajaan sentiasa terbuka kerana PKS ini peranannya besar iaitu lebih 60 peratus yang bekerja dalam sektor PKS.

“Oleh itu adalah penting kerajaan sentiasa berbincang dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk tingkatkan lagi libat urus dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi semua negara yang terlibat. Sudah pasti ia mengambil masa yang agak panjang untuk menstabilkan semula keadaan negara sejurus tamatnya pandemik itu nanti.

Untuk baca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca