COVID-19: Pengebumian Berlaku Setiap 30 Minit, Jururawat Ini Kongsi Pengalaman Bekerja Di Itali Semasa Wabak

Seorang jururawat lelaki warga Britain yang kini bertugas di Itali menyuarakan rasa gerunnya apabila setiap 30 minit, ada sahaja jasad mangsa wabak Koronavirus baharu (COVID-19) yang perlu dikebumikan.

Connor McAinsh merupakan seorang jururawat yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) Gavazzeni Hospital di Lombardy, Itali. Difahamkan, pihak tentera kini telah dikerahkan ke daerah itu bagi menjalankan perintah kawalan pergerakan.

Itali kini merekodkan jumlah kematian tertinggi di dunia akibat wabak Koronavirus (COVID-19) iaitu melebihi 5,000 orang.

Angka berkenaan adalah lebih tinggi berbanding jumlah kematian di Wuhan, China yang menjadi pusat bermulanya wabak berbahaya terbabit.

Daerah Lombardy di mana McAinsh bertugas adalah kawasan paling terjejas teruk di Itali sehingga majlis pengebumian jasad mangsa akan berlaku setiap 30 minit.

Menerusi temu bualnya dengan ITV pada Khamis tanggal 19 Mac 2020, McAinsh berkata, hospital tempat kerjanya itu kini hanya menerima pesakit yang positif COVID-19 sahaja.

“Mereka (pihak hospital) terpaksa mendirikan khemah di luar. Majlis pengebumian mangsa berlaku setiap 30 minit di tanah perkuburan dekat Bergamo,” jelasnya.

“Kami menerima terlalu banyak pesakit COVID-19 sehingga apabila ada seseorang yang meninggal dunia, kami sepertinya hanya boleh meninggalkannya dan pergi menguruskan mangsa lain pula. Ia sungguh teruk dan menyedihkan.”

Sebelum ini, terdapat laporan pesakit-pesakit ICU di hospital dekat daerah Lombardy yang terpaksa dipindahkan ke wad biasa bagi memberi laluan kepada mangsa positif COVID-19 yang terlalu ramai.

Tidak cukup dengan itu, laporan lain turut mendedahkan pihak paramedik menerima lebih 2,500 panggilan kecemasan setiap hari dari kawasan berkenaan.

Terdahulu, Presiden Lombardy, Attilio Fontana telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menempatkan askar di daerah itu sebagai langkah mencegah penularan wabak. Walau bagaimanapun, angka kematian masih meningkat dalam kadar yang terlalu cepat.

“Dukacita dimaklumkan kami tidak lihat apa-apa perubahan positif pada angka kematian. Ia semakin bertambah,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, McAinsh berkata beliau berkata, tiada siapa yang bersedia untuk menangani wabak ini.

“Saya merasakan kami tidak bersedia. Kami tidak pernah berurusan dengan pesakit seperti ini. Ia berlaku begitu pantas. Dahulu, kami cuma mempunyai seorang pesakit yang positif COVID-19. Kini, seluruh wad ICU dipenuhi dengan mereka yang positif wabak sama,” katanya.

“Dewan-dewan pembedahan terpaksa dipenuhkan dengan katil bagi menempatkan pesakit wabak COVID-19 semaksimum mungkin.”

“Segalanya berlaku terlalu pantas. Saya pasti tiada siapa yang dapat mengagaknya,” terang McAinsh lagi.

Wabak Koronavirus baharu (COVID-19) dilaporkan sudah menjangkiti lebih 275,000 individu di seluruh dunia dan 11,400 yang lain semasa kali pertama ia bermula yakni pada lewat Disember tahun lalu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca