COVID-19: Pemimpin WHO Beri Amaran Bahawa Musibah Bakal Terjadi

Pemimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran awal bahawa musibah bakal terjadi berhubung COVID-19 ekoran tindakan beberapa negara yang mula melonggarkan peraturan khusus bagi mengekang pandemik itu.

Ketua Pengarahnya iaitu Tedros Adhanom Ghebreyesus, bagaimanapun tidak memperincikan lebih lanjut mengenai sebab beliau percaya virus yang sudah menjangkiti 2.5 juta penduduk dan meragut lebih 166,000 nyawa di seluruh dunia itu boleh menjadi lebih buruk jika tidak ada pencegahan tahap maksimum.

Tedros dan beberapa pakar lain sebelum ini memberi petunjuk akan kemungkinan COVID-19 tersebar di benua Afrika yang sistem kesihatannya masih kurang membangun dan canggih.

“Percayalah, perkara lebih buruk menanti kita. Mari kita berusaha mencegah tragedi ini. Ia adalah virus yang masih tidak difahami ramai orang,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat WHO semalam.

Sesetengah negara Asia dan kerajaan di Eropah mula melonggarkan beberapa langkah perintah berkurung seperti kuarantin, penutupan sekolah dan perniagaan serta larangan untuk berhimpun kerana penurunan jumlah kes atau kematian yang berlaku.

Tedros dan agensi pimpinannya berada dalam keadaan tegang selepas tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) iaitu Donald Trump, pada minggu lalu mengarahkan pendanaan negara itu kepada WHO dihentikan.

AS merupakan penyumbang dana terbesar kepada agensi kesihatan bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Trump mendakwa WHO gagal berkongsi dan bersikap telus dalam penyaluran maklumat mengenai wabak itu sejak ia dikesan di China pada akhir tahun lalu.

Namun, Tedros menyangkal dakwaan itu.

“Tidak ada sebarang rahsia di WHO kerana merahsiakan perkara seperti ini amat berbahaya. Ia adalah soal kesihatan dan keselamatan manusia sejagat,” tegasnya.

Diharapkan masyarakat di seluruh dunia tidak mengambil mudah terhadap pencegahan pandemik ini walaupun kes menunjukkan penurunan. Perkara ini kerana jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil musibah boleh terjadi dengan lebih serius pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:


Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca