COVID-19: Pemakaian Sarung Tangan Kurang Digalakkan, Ini Penjelasan Daripada Pakar Perubatan

Di saat negara kita dilanda wabak COVID-19, rata-rata masyarakat dilihat mengenakan sarung tangan semasa keluar terutamanya sewaktu ke pasar raya untuk membeli bekalan makanan dan barang keperluan. Namun begitu, ramai yang tidak tahu bahawa pemakaian sarung tangan di tempat awam sebenarnya kurang digalakkan kerana faktornya yang mengurangkan deria sentuhan. Perkara ini sekali gus menjadikan ia sama sekali tidak menjamin keselamatan si pemakai daripada dijangkiti sebarang jenis penyakit termasuklah COVID-19.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Seremban iaitu Dr. Nor Izran Hanim Abdul Samad, memakai sarung tangan secara tidak langsung boleh menimbulkan sedikit bahaya kerana ia mampu memberikan ‘gambaran palsu’ kepada pemakainya apabila mereka menyentuh sebarang permukaan.

“Contohnya, sekiranya kita menyentuh sesuatu permukaan yang berdebu atau berminyak, kita akan terus mencuci tangan tetapi apabila seseorang itu memakai sarung tangan dan tersentuh pada permukaan yang berdebu atau berminyak maka sentuhan sebenar tidak dapat dirasai.

“Ini akan memberi ‘gambaran palsu’ bahawa kita rasa yang kita selamat tetapi mungkin secara tidak sengaja kita sudah pindahkan kekotoran atau kuman ke tempat lain seperti baju dan kulit tanpa kita sedari,” kata beliau semasa menjadi panel ‘FB Live @ KKM Khas Kenali COVID-19’ menerusi halaman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr. Nor Izran Hanim berkata demikian sewaktu menjawab soalan yang diajukan daripada seorang pengguna Facebook iaitu Zarina Rahman yang ingin tahu adakah penggunaan sarung tangan digalakkan semasa membeli barangan di pasar raya.

Seorang lagi panel yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong Batu 14 iaitu Dr. Izwan Effendy Ismail pula berkata sarung tangan perlu diberikan keutamaan kepada semua petugas hadapan khususnya anggota KKM yang terlibat dalam menangani wabak itu.

“Saya rasa stok sarung tangan seakan sama seperti penutup hidung dan mulut di mana ia agak kritikal maka sarung tangan sepatutnya diutamakan kepada anggota kesihatan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, buat masa ini, orang ramai seharusnya mengikut saranan berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih menggariskan panduan mencuci tangan, kebersihan diri dan jarakan sosial.

“Akhirnya, kita akan berbalik semula kepada membersihkan tangan sebab apa-apa pun, kita perlu kerap mencuci tangan selepas memegang permukaan biasa seperti lif, susur tangan dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mencuci tangan dengan menggunakan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat kerana ia merupakan langkah efektif untuk menyingkir kuman. Pada masa yang sama, beliau juga menggalakkan orang ramai untuk menggunakan cecair pembasmi kuman.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca