COVID-19: Pelakon Filem Transformer Dedah Bapa Terkorban Angkara Wabak

Selebriti Hollywood, Sophia Myles mendedahkan bapanya yang berusia 67 tahun telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah disahkan positif wabak Koronavirus baharu (COVID-19).

Pelakon berumur 40 tahun yang pernah membintangi filem Transformers: Age of Extinction (2014), memaklumkan mengenai pengkhabaran duka itu menerusi akaun Twitter miliknya.

Hanya beberapa jam sebelum bapanya meninggal dunia, Sophia sempat memuat naik gambar terakhir bersamanya ketika lelaki itu sedang terlantar di katil hospital.

Menerusi gambar itu, Sophia dilihat memakai pakaian perlindungan diri sambil dia berada di sisi bapanya yang memakai alat bantuan pernafasan.

Pada bulan Ogos 2018, ibu kepada seorang anak itu pernah memaklumkan kepada peminatnya bahawa bapanya itu menghidap Parkinson’s dan turut menderita beberapa penyakit lain.

Semenjak bapanya disahkan positif Koronavirus (COVID-19), Sophia membuat keputusan untuk merakam setiap detik dan sering memuat naik status terkini di laman sosial miliknya bagi memberitahu dunia bahawa wabak ini adalah sesuatu yang sangat berbahaya.

“Saya hanya mahu mengingati orang ramai. Bapa saya kini berada dalam wad isolasi bersama beberapa yang lain. Mereka semua disahkan positif COVID-19 dan kini seperti hanya menunggu maut menjemput,” ujar Sophia dalam satu rakaman videonya.

“Kebanyakan mangsa wabak ini adalah warga emas. Jadi, saya merayu. Tolonglah anggap wabak ini serius. Ia bukan satu permainan atau jenaka.”

Setakat pagi hari Sabtu, terdapat 5,018 kes positif COVID-19 disahkan di Britain. Angka kematian pula sudah mendadak naik sehingga mencecah 233.

Pihak Lejen Digital mengucapkan takziah kepada keluarga Sophia Myles dan menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membendung wabak ini.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca