Malaysia belum mempunyai keupayaan dan kemahiran bagi menghasilkan vaksin sendiri dalam usaha mencegah COVID-19. Ia dilihat memerlukan kerjasama daripada negara berpotensi.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika vaksin tersebut sudah pun dikenal pasti, pembuatannya boleh dijalankan di negara ini.
“Kita mungkin tiada keupayaan setakat ini untuk menjana atau membuat vaksin, tetapi kalau kita dah kenal pasti vaksin itu, mungkin kita boleh melihat kepada pembuatan vaksin tersebut di negara kita.
“Jadi, formula sudah ada dan apabila vaksin dikenal pasti kita boleh hasilkan pembuatan vaksin di negara kita,” katanya dalam sidang media harian pada hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kesesuaian Malaysia sebagai lokasi untuk menjalankan ujian manusia terhadap vaksin COVID-19, Dr. Noor Hisham berkata setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan perbincangan dan rundingan dengan beberapa negara pengeluar.
“Jadi, kalau kita dipilih untuk dijadikan tempat kajian seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaksanakan rawatan jadi empat kumpulan ubat contohnya, Malaysia telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang boleh menjalankan kajian tersebut.
“Selain itu, KKM sedang melihat dan berbincang dengan negara yang boleh mengeluarkan vaksin, dan kita bersedia untuk menerima vaksin tersebut untuk dijalankan sebagai kajian. Jadi, kita boleh pantau sama ada vaksin ini berkesan ataupun tidak,” katanya.
Semalam, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) memaklumkan sedang menjalin kolaborasi bersama Kementerian Luar Negeri dan KKM untuk mengadakan pendekatan sains diplomasi bagi menyertai proses pembangunan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa.
Menterinya iaitu Yb Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia disifatkan sebagai negara yang paling sesuai untuk menjalankan ujian human trial memandangkan kepelbagaian etnik di negara ini, selain terdapat tiga strain COVID-19 yang dikesan di Malaysia setakat ini.
Untuk baca artikel lain berkenaan vaksin, anda boleh klik pada pautan di bawah: