COVID-19: Lelaki Ugut Bakar Diri Lepas Majlis Hari Lahir Dibatalkan

Hanya kerana majlis hari lahirnya dibatalkan pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung penularan Koronavirus (COVID-19), seorang lelaki di barat daya China nekad mahu membakar dirinya.

Menurut laporan, tertuduh yang dikenali sebagai Wang, 59, bertindak menyiram tubuhnya dengan petrol dan mengikat mercun pada pinggangnya selepas tidak berpuas hati kerana majlis yang dirancangnya sejak akhir bulan lalu terpaksa dibatalkan.

Majlis hari jadi yang dirancang Wang dikatakan akan dilengkapi 10 buah meja terpaksa dibatalkan susulan sekatan dan larangan perhimpunan awam yang dikuatkuasakan pihak berkuasa bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang sudah meragut lebih 1,000 nyawa di negara itu.

Lapor media tempatan Xinhua, Wang kemudiannya hadir di pejabat jawatankuasa kampung untuk mengugut dan cuba untuk menakut-nakutkan ahli jawatankuasa dengan tindakannya itu.

Ekoran daripada insiden berkenaan, peguam cara tempatan bertindak memfailkan dakwaan atas tingkah laku Wang yang dianggap tidak senonoh itu.

Saat ini, ratusan juta penduduk di China berdepan sekatan yang turut memberi kesan kepada aktiviti harian mereka sebagai usaha untuk mengelakkan COVID-19 daripada terus merebak.

Minggu lalu, pihak berkuasa perbandaran Beijing telah melarang sebarang jamuan dan makan malam beramai-ramai sebagai salah satu langkah untuk mencegah virus berbahaya itu daripada terus menular dan menjangkiti lebih ramai penduduk di republik itu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca