COVID-19: Kongsi Video Di Laman Sosial, Keluarga ‘TikTok’ Kini Sudah Sembuh

Pakar dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Teluk Intan iaitu Dr. Samsu Ambia Ismail dan keluarga kini disahkan sembuh daripada COVID-19. Sebelum ini mereka sekeluarga positif dan dikuarantinkan di hospital.

Perkhabaran gembira itu dikongsikan oleh anak sulung keluarga itu, Erika Syamim Samsu Ambia yang berusia 17 tahun di laman Twitter peribadinya pada malam tadi.

Dalam ciapannya itu, dia berkongsi sekeping foto mereka sekeluarga beserta kapsyen, “Akhirnya bebas COVID!”.

Sebelum itu, Erika memuat naik video TikTok yang menyaksikan mereka sekeluarga menukar pakaian hospital kepada pakaian biasa menandakan mereka sudah boleh pulang ke rumah.

“Okay jadi kitorang sekeluarga dah boleh keluar hospital! Terima kasih semua atas doa-doa kalian. Ini merupakan TikTok terakhir kami semua dekat hospital,” tulisnya di Twitter.

Perkongsiannya itu dihujani rasa gembira dan syukur warganet yang mendoakan mereka sekeluarga diberi kesihatan baik berpanjangan.

Sementara itu, dalam perbualan dengan Bernama di Twitter, Erika Syamim berkata, mereka disahkan sembuh selepas menjalani tiga ujian dan kini perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Kami perlu mematuhi kuarantin yang ketat. Pihak berkuasa akan menghantar makanan dan bahan asas kepada kami,” katanya.

Erika Syamim dan adik beradiknya yang berusia antara 8 dan 15 tahun sebelum ini menjadi perbualan di media sosial selepas dia berkongsi video TikTok mereka yang sedang dikuarantin di hospital.

Katanya lagi, mereka sekeluarga kini dalam proses mencuci dan nyah kuman rumah kediaman mereka.

“Sekarang kami luangkan masa sebagai keluarga yang sihat di rumah. Kami juga membantu mereka yang bertanya di luar sana mengenai penyakit ini,” katanya.

Erika Syamim berkata selepas tamat kuarantin 14 hari di rumah, bapanya boleh kembali bertugas seperti biasa dan mereka boleh melakukan aktiviti seharian mereka sebagai sebuah keluarga.

Untuk baca artikel lain berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca