COVID-19: Ketua Pengarah Kesihatan Saran Pengguna Beli Ais Dari Kilang Ada Lesen KKM

Pengguna disarankan untuk membeli ais dari kilang yang mempunyai lesen sah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak kegusaran dijangkiti Koronavirus baharu (COVID-19) kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau lagi, nombor lesen KKM pada pembungkus ais boleh dirujuk oleh pengguna melalui laman sesawang rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM). Selain itu, maklumat kilang ais yang mempunyai lesen juga dapat diketahui.

“KKM ambil maklum mengenai cadangan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau, Phee Boon Poh dalam satu laporan media yang menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil ais daripada sumber tidak disahkan dan bahawa wabak COVID-19 boleh disebarkan melalui cecair,” kata Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menerusi Peraturan 394A Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap kilang ais perlu mengikut standard dan syarat lesen yang ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, ais yang dihasilkan hendaklah menggunakan sumber air terawat dan perlu menjalani proses nyahjangkitan melalui pelbagai teknologi seperti ultraungu dan sebagainya.

“Berdasarkan kajian dan maklumat diketahui setakat ini mengenai jangkitan Covid-19, pematuhan kepada standard dan syarat perlesenan sedia ada dapat memastikan ais dikeluarkan oleh kilang ais adalah selamat. Namun, kilang ais tidak mempunyai lesen tidak dapat dipastikan keberkesanan proses penyahjangkitan,” katanya.

Sehingga kini, beliau berkata, terdapat sejumlah 156 kilang ais yang mempunyai lesen sah dengan KKM di seluruh Malaysia. Manakala 16 kilang lagi berada dalam proses kelulusan lesen.

“Pada 2019, 140 kilang ais beroperasi tanpa lesen dikenal pasti oleh KKM, dan daripada jumlah itu, 18 kilang ais beroperasi tanpa lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan, manakala 122 kilang bakal dikenakan tindakan pada tahun ini.

“Pemilik kilang ais beroperasi tanpa lesen daripada KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca