COVID-19: Kajian Awal Mendapati Individu Berdarah A Lebih Berisiko Dijangkiti

Penyelidikan awal dari China mendapati individu mempunyai darah A dipercayai lebih mudah dijangkiti COVID-19, berbanding dengan mereka yang berdarah O.

Hasil kajian yang dilakukan mendapati, sebahagian besar pesakit dari Wuhan dan Shenzhen, China yang dijangkiti dan meninggal dunia adalah daripada kumpulan pesakit yang berdarah A.

Hanya sebilangan kecil daripada pesakit berdarah O yang dijangkiti meninggal dunia akibat serangan virus COVID-19 ini.

“Pesakit dalam kumpulan darah A dinasihatkan untuk meningkatkan daya tahan tubuh bagi mengurangkan risiko dijangkiti,” kenyataan penyelidik di Pusat Perubatan yang berpangkalan di Wuhan, China.

Walau bagaimanapun, pasukan yang diketuai Wang Xinghuan berkata bahawa kajian itu masih di terlalu awal dan lebih banyak kajian perlu dilakukan bagi membuktikan kesahihannya dan ketepatannya.

Kajian yang diterbitkan di Medrxiv.org itu membandingkan lebih 2,173 jenis darah yang disahkan mempunyai kes positif COVID-19, di Wuhan dan Shenzhen dengan 3,694 penduduk yang bebas daripada virus itu di sekitar Wuhan.

Ia menunjukkan lebih 31.16 peratus penduduk Wuhan mempunyai darah jenis A dan kajian di Hospital Wuhan Jinyintan, mendapati 37.75 peratus pesakit COVID-19 di hospital itu mempunyai darah jenis sama.

Sampel darah yang sama juga menunjukkan 25.8 peratus mempunyai darah jenis O berbanding 33.84 peratus daripada keseluruhan populasi.

Hasil kajian itu juga mendapati 206 orang pesakit meninggal akibat virus itu, selain 85 pesakit atau 41.26 peratus adalah daripada kumpulan darah A dan 52 kematian daripada individu yang berdarah O.

Saintis yang tidak terbabit dalam kajian itu menyatakan kepada South China Morning Post bahawa lebih banyak sampel darah diperlukan bagi membantu pakar perubatan.

“Sekiranya anda dari kumpulan darah A, tidak perlu panik. Ia tidak bermaksud anda akan dijangkiti 100 peratus,” kata Gao Yingdai, penyelidik yang berasal dari Tianjin.

“Ia tidak bermakna individu berdarah O juga selamat, anda masih perlu mencuci tangan dan mengikuti garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” menurutnya.

Setakat ini, lebih 196,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia dan lebih 7,800 kematian berkaitan virus itu. – Agensi

Apa-apa pun, tidak kisah apa jenis darah sekali pun, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengikut arahan serta garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa supaya penularan wabak ini dapat dibendung dengan segera.

Untuk baca artikel lain berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca