COVID-19: Jasad Bergelimpangan Di Tepi Jalan, Rakyat Ecuador Rayu Kerajaan Ambil Tindakan

Sedang dunia dilanda pandemik COVID-19, pasti setiap negara yang terjejas mempunyai masalah mereka sendiri. Di bandar Guayaquil, Ecuador, kini sedang hangat berkaitan isu jasad dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan.

Menerusi laporan Free Malaysia Today, awal minggu ini sahaja pihak berkuasa di sana sudah mengumpulkan sekurang-kurangnya 150 jasad dari tepi jalan dan rumah.

Sehingga kini, negara di Amerika Selatan itu tidak mendedahkan angka sebenar mangsa korban disebabkan COVID-19.

Naib Presiden Ecuador, Otto Sonneholzner, telah memohon maaf kepada rakyatnya selepas banyak jasad ditinggalkan di tepi jalan bandar Guayaquil kerana kegagalan kerajaan dalam membendung perkara ini daripada berlaku.

Memetik laporan RT, sistem kesihatan di Guayaquil dikatakan hampir lumpuh dan perintah kawalan pergerakan yang dilakukan turut menyukarkan pergerakan pasukan kesihatan untuk ke lokasi yang terjejas.

Rakyat yang mula terdesak telah menggunakan media sosial untuk merayu kepada kerajaan supaya bertindak dengan segera. Rata-rata sudah tidak sanggup melihat jasad bergelimpangan di seluruh jalan menjadi busuk dan tidak diambil berhari-hari.

Seorang wartawan juga mula menangis ketika membuat laporan mengenai keadaan mereka di sana.

Berdasarkan WHO, Ecuador hanya mencatatkan hampir 3,500 kes COVID-19 termasuk 172 kematian. Namun, disebabkan oleh kekurangan bekalan untuk membuat ujian saringan, kerajaan tidak mampu lagi untuk membuat pengesahan jumlah positif yang sebenar.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca