COVID-19 Jadi Penyelamat, Pasangan Di China Ini Batal Niat Bercerai

Sepasang suami isteri di Jiangxi, China yang hampir bercerai telah membatalkan niat tersebut selepas si isteri terharu dengan tindakan suaminya yang menjaganya ketika dia dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan South China Morning Post, pasangan itu telah memfailkan perceraian pada 14 Disember lalu dan kini berada dalam tempoh bertenang selama 30 hari untuk bercerai sejajar dengan peraturan terbaharu di China.

Proses mengesahkan perpisahan pasangan itu dan sijil rasmi perceraian mereka dijangka akan diterima antara pertengahan Januari sehingga Februari tahun hadapan.

Sementara menunggu proses perceraian selesai, mereka memilih untuk kekal tinggal di rumah yang sama dan pada ketika itulah si isteri dapat tahu bahawa dirinya positif COVID-19.

Wanita itu berasa sangat lemah dan terpaksa berehat di atas katil. Si isteri terharu apabila melihat bagaimana suaminya gigih menjaga dirinya pada hari-hari berikutnya.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, lelaki itu dilihat menjaga isterinya yang terlantar di atas katil dengan membawa air dan tisu serta turut menyediakan makanan untuk wanita berkenaan.

Sumber: South China Morning Post

Pada waktu makan, lelaki itu akan membawa semangkuk nasi di tangannya sambil menolak pintu bilik tidur dengan lembut. Ada hari pula si suami akan menyediakan bubur untuk isterinya.

Jika terlampau panas untuk dimakan ketika itu, si suami akan kacau bubur tersebut untuk menyejukkan makanan berkenaan.

Walaupun keadaannya sangat lemah ketika itu, wanita berkenaan berkata dia sedar betapa besarnya kasih sayang yang ditunjukkan oleh suaminya terhadap dirinya.

“Suami saya seorang yang sangat pendiam tetapi dia bekerja keras. Saya memfailkan perceraian kerana kami kurang berkomunikasi dengan satu sama lain,” jelas wanita itu.

Walau bagaimanapun, wanita itu mengubah fikirannya untuk membawa haluan berbeza selepas melihat ketabahan suaminya yang menjaganya semasa dia sakit.

Pasangan itu kemudiannya berbincang semula dan memutuskan untuk menarik balik permohonan perceraian tersebut. Wanita itu berkata suaminya memberitahu dia untuk kembali bersama dan percaya COVID-19 telah menyelamatkan perkahwinan mereka. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca